GOMBAK – Polis mengeluarkan 22 kompaun pasa Sekatan Jalan Raya Plaza Tol Gombak semalam ke atas kenderaan yang memasuki pusat bandar raya dari Lebuh Raya Karak semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten, Komisioner Arifai Tarawe berkata, setiap kompuan sebanyak RM5,000 itu dikeluarkan terhadap pengguna lebuh raya yang pulang daripada berhari raya dari Pantai Timur atas kesalahan merentas negeri.
“Kesemua 22 kompaun yang dikeluarkan untuk semalam sahaja atas dua kesalahan iaitu tidak memiliki dan gagal mempamerkan dokumen kebenaran rentas negeri.
“Satu lagi kesalahan yang dikesan adalah menyalahgunakan dokumen kebenaran majikan pekerja untuk balik kampung dan inilah dua kesalahan yang dikesan dan dikeluarkan kompaun RM5,000 untuk kesalahan itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Arifai, beliau telah meninjau operasi pemeriksaan kenderaan bermula jam 5 petang semalam hingga 1 pagi tadi di SJK Tol Gombak yang menyebabkan kesesakan kenderaan sehingga tiga kilometer menghala ke ibu negara.
“Pemeriksaan teliti dilakukan ke atas setiap kenderaan baik motosikal mahupun kenderaan berat serta bas ekspres.
“Kebanyakan mereka mempunyai dokumen merentas negeri dan paling banyak urusan adalah membabitkan urusan balik universiti dan pendidikan.
“Yang tiada dokumen kebenaran merentas negeri kita keluarkan kompaun RM5,000 seorang.
“Hanya tiga kilometer sahaja sesak dan ia tidaklah serius sangat berbanding musim perayaan biasa seperti tahun-tahun sebelum ini yang kebiasaannya sesak sejauh 20 hingga 30 kilometer walaupun tiada SJR sebelum Tol Gombak,” ujarnya. – MalaysiaGazette