KUALA LUMPUR – Seramai 732,911 orang telah menerima dos kedua vaksin Covid-19.
Setakat 15 Mei 2021, jumlah pemberian vaksin adalah 1,925,337 dos dan 1,192,426 daripadanya telah menerima dos pertama.
Selangor merekodkan pemberian lengkap dua dos vaksin tertinggi iaitu 99,797 orang.
Diikuti Kuala Lumpur (80,662), Johor (69,562), Sarawak (69,353) dan Perak (60,617).
Berdasarkan statistik Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Selangor merupakan negeri tertinggi yang merekodkan pendaftaran untuk menerima vaksin iaitu 2,615,118 orang.
Untuk rekod, sehingga semalam 41.80 peratus atau 10,146,732 individu sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya.
Fasa ketiga pula yang dijadualkan bermula Mei tahun ini hingga Februari 2022, membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – MalaysiaGazette