Home Nasional McDonald’s Malaysia tidak pernah terlibat dengan agenda sokong Israel

McDonald’s Malaysia tidak pernah terlibat dengan agenda sokong Israel

Restoran McDonald's di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia menegaskan tidak pernah terlibat dalam sebarang agenda yang menyokong Israel.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, ia tidak pernah menyumbang, menyokong atau terlibat dengan sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara sekalipun.

“McDonald’s Malaysia sedar akan kewujudan mesej WhatsApp yang tular berkenaan pemboikotan jenama kami.

“Pihak McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan bahawa pemboikotan ini adalah tidak berasas dan kenyataan tentang jenama kami menyalurkan bantuan kepada pihak Israel adalah suatu pembohongan dan fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) telah diambilalih sepenuhnya oleh syarikat Reza Group dari Arab Saudi bersama seorang rakan niaga tempatan sejak tahun 2017.

Oleh itu ekuiti syarikat berkenaan kini dimiliki oleh mereka yang beragama Islam, ujarnya.

Menurut Azmir, dakwaan yang tular kebelakangan ini sebagai tohmahan adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.

Pada 2017 McDonald’s Malaysia pernah membuat laporan polis terhadap lebih 20 individu dan organisasi kerana memfitnah rangkaian restoran makanan segera itu menyalurkan dana kepada Israel. – MalaysiaGazette