Home Seni Hidup Ajar anak-anak cara elak kebakaran di rumah – JBPM

Ajar anak-anak cara elak kebakaran di rumah – JBPM

Kita selalu sebut tentang kebakaran tetapi perkara asas yang perlu diajar kepada anak-anak kita mengenainya tidak diterapkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kita selalu sebut tentang kebakaran tetapi perkara asas yang perlu diajar kepada anak-anak kita mengenainya tidak diterapkan.

Itu respon Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad mengenai kepentingan pengetahuan bagi mencegah kebakaran sejak usia muda.

Menurut beliau, langkah atau tindakan awal yang tepat mampu untuk membendung daripada berlakunya kebakaran yang lebih serius seperti kehilangan nyawa.

“Sebagai contoh kita ada alat pemadam api di rumah jadi kita ajar mereka cara-cara penggunaan yang betul. Misalnya kita memasak di dapur dan berlaku kebakaran, apa yang perlu dibuat seperti tutup gas terlebih dahulu kemudian ambil selimut atau tuala basah letakkan pada tempat yang terbakar.

“Sebagai ibu bapa, kita ambillah sedikit masa untuk terangkan kepada orang di dalam rumah mengenai maklumat asas memadam kebakaran, mungkin kita rasa susah untuk terangkan sendiri tapi ada pilihan di mana kita boleh buka Youtube dan lihat bersama-sama apa yang perlu dilakukan sekiranya perkara itu terjadi.

“Risau apabila berlakunya kebakaran tetapi kita tidak ambil tindakan segera maka akan menyebabkan perkara lebih teruk berlaku,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, terdapat dua perkara asas di mana kita sering terlepas pandang iaitu untuk menghubungi talian kecemasan 999 dan menyimpan kunci rumah di tempat yang sepatutnya.

Jelas Nor Hisham, kadangkala ada kes di mana orang awam sibuk menyelamatkan harta benda sehingga terlupa untuk mendapatkan bantuan.

“Tidak perlulah nak Google nombor balai bomba mana yang terdekat, kena hubungi terus 999 kerana respon lebih cepat dan pantas.

“Penekanan terhadap keselamatan diri itu amat penting kerana apabila berlakunya kebakaran ia bukan sahaja tragis malah boleh menyebabkan trauma. Sudah bertahun-tahun mengumpul harta dan bina rumah tetapi semuanya hangus sekelip mata.

“Kena ingat kita tidak boleh main-main dengan api, apabila berlaku kebakaran tengok kemampuan diri bagaimana, kalau tidak selamatkan diri sendiri terlebih dahulu dan dapatkan bantuan segera yang mungkin.

“Seterusnya, kunci perlu disimpan di tempat rutin di mana semua orang dalam rumah itu tahu dan bukan letak di merata-rata tempat. Ini kerana apabila berlakunya kebakaran, semua tahu di mana nak ambil kunci dan kadangkala ini antara perkara asas yang kita lupa.

“Lagi satu, elakkan selak pintu di bahagian atas kerana anak-anak kecil tak boleh nak capai dan buka tetapi fokus pada kunci di sebelah bawah,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham turut menasihati orang ramai supaya lebih peka terhadap keselamatan di dalam rumah terutamanya ketika musim Hari Raya Aidilfitri.

Kata Nor Hisham, walaupun terbatas dari segi rutin untuk ziarah-menziarahi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 namun aktiviti memasak sudah tentu dilakukan seperti biasa.

“Ketika memasak kita tidak boleh leka, mungkin kita tinggal sekejap dan buat perkara lain namun dikhuatiri akan berlakunya kebakaran akibat terleka.

“Beri juga perhatian kepada anak-anak kecil kerana kita tidak boleh keluar jadi masa mereka lebih banyak dihabiskan di dalam rumah, tidak mustahil ada yang cuba bermain mancis atau bakar bungi api seterusnya oleh mendatangkan risiko kebakaran.

“Ambil juga masa untuk periksa atau uji suis utama di dalam rumah supaya semuanya dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut Nor Hisham, statistik kebakaran JBPM menunjukkan penurunan pada lima bulan pertama tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Jelas beliau, pada Januari hingga Mei 2020, sebanyak 960 kes kebakaran membabitkan kategori rumah direkodkan manakala pada tahun 2019 pula sebanyak 1,308 kes.

“Untuk Januari hingga April tahun ini sebanyak 873 kes dicatatkan. Kategori rumah ini seperti teres, flat, apartmen atau kondominium, setinggan, rumah panjang dan rumah kediaman,” ujarnya. – Malaysia Gazette