Home Pendapat Penalaan nada orang muda oleh situasi sosioekonomi semasa

Penalaan nada orang muda oleh situasi sosioekonomi semasa

Insiden rusuhan oleh pemuda-pemuda di Parit Raja, Batu Pahat, baru-baru ini.

INSIDEN pada khamis lepas, ketika majoriti rakyat sedang merayakan hari kebesaran Aidilfitri menarik perhatian. Seramai kira-kira 20 orang anak-anak muda bermotosikal membakar suar dan gegantung tertulis “kerajaan gagal”. Peristiwa berkenaan berlaku di Batu Pahat nyata disoroti daripada pelbagai lensa rasa dan periksa kepuakan kumpulan. Identiti mereka telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa dan akan melalui proses perundangan.

Sama ada mereka bersalah atau tidak menurut mana-mana peruntukan dalam negara, kita serahkan kepada kebijaksanaan penguatkuasa. Perkara yang kita patut renungkan adalah ‘nada’ yang dikirim daripada peristiwa ini.

Ternyata tidak dapat dimungkiri tindakan berani dan dilihat tidak beradab oleh sesetengah
pemerhati kerana berlaku di hari mulia Aidilfitri semakin muncul di arus permukaan. Ada
sesuatu yang tidak beres nampaknya. Kita tidak pasti siapa dibelakang mereka, apakah oleh indoktrinisasi daripada mana-mana pihak atau dorongan dhamir sendiri tindakan berkenaan diambil.

Kita ambil andaian bahawa tindakan ini didorong oleh rasa tidak puas yang dibakar oleh
sentimen kepolitikan disebabkan tindakan kerajaan yang menguatkuasakan PKP di minggu terakhir Ramadan ketika majoriti kita sedang bersiap untuk pulang bertemu lutut
menghadap orang tua.

Atau oleh dorongan kemarahan sendiri yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana kumpulan politik. Apa sahaja alasannya, kejadian ini memberikan beberapa isyarat untuk pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan perlu.

Rakyat hakim negara. Ini menggambarkan bagaimana struktur demokrasi bekerja
dalam negara yang mengamalkannya. Punca kuasa oleh para penguasa bermuara daripada rakyat.

Merekalah yang telah memberikan mandat supaya kerajaan memiliki daulat atau
keabsahan untuk menjalankan urustadbir negara. Kitaran ini bermakna, suara rakyat adalah nukleas yang membekalkan kuasa kepada sel-sel governans dalam negara diaktifkan.

Seperti aliran listrik yang kemudian membekali arus kuasa kepada operasi mesin. Mengabaikan suara rakyat adalah alamat mencangkul kubur kekuasan sendiri. Justeru, kita harus perhatikan dengan saksama, menghitung secara adil, mengecam akar insiden ini dan mengambil langkah bijaksana memastikan keadaan dapat ditangani dengan baik.

Anak Muda Berang

Berdasarkan pemerhatian dan kutipan yang diperolehi daripada pimpinan belia setempat di kawasan kejadian, keluhan para belia ini jelas nyaring terhadap tindakan kerajaan yang
mengisytiharkan PKP disaat akhir menyambut Aidilfitri (Rujuk kenyataan akhbar Presiden Majlis Belia Malaysia bertarikh 17 Mei 2021). Rentetan daripada keputusan flip flop pihak berkuasa terhadap SOP, amalan double standard antara kluster kayangan, keputusan mata pencarian, pendapatan, turun naik emosi disebabkan desakan ekonomi semua ini melambungkan lagi keberangan rakyat.

Ironinya, data Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia (Terbitan Khamis, 8 April 2021)
menunjukkan trend positif sektor sosioekonomi negara. Laporan berkenaan mencatat bahawa pada bulan Februari 2021 menyaksikan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus atau bersamaan 33.3 ribu orang kepada 15.27 juta orang (Januari 2021: 15.24 juta orang).

Namun, ini tidak mengambil kira keputusan semasa kerajaan yang telah menetapkan PKP di seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei – 07 Jun 2021. Sampel PKP 1.0 yang diumumkan
sebelum ini bermula 18 Mac 2020 telah banyak dianalisis dan dibuat perbandingan.

Ketika awal itu, rakyat masih banyak memiliki simpanan rizab tunai, skim-skim bantuan yang diberikan oleh kerajaan juga banyak membantu, morotarium diberikan oleh pihak bank sehingga Oktober 2020 dan bersambung serta beberapa inisiatif lain lagi. PKP 3.0 kini, rakyat harus usaha sendiri.

Alasannya, sektor ekonomi dibuka, tiada alasan untuk rakyat tidak mendapat peluang pendapatan. Soalnya, dengan pergerakan yang disekat, bagaimana sektor-sektor berkaitan seperti pekedai RnR, bazar ramadhan, pasar malam, penyedia khidmat
teknikal, logistik, jamuan untuk majlis-majlis sosial dapat bernafas?

Itu sahaja contoh daripada beberapa deretan kes spesifik lain yang menandakan terhadap ‘api dalam sekam’ yang menganggu rakyat. Ia dipicu pula oleh sekumpulan anak muda berang (the angry young men) yang memang sinonim dengan watak gelojak membuak-buak menyatakan rasa mereka atas kebuntuan ini. Walaupun rasional tindakan mereka itu boleh diperdebatkan, tetapi haruskita terima dahulu asas tindakan itu ada akarnya.

Kerajaan Malaysia sifatnya ibarat seorang bapa yang menaungi jagaannya dengan mutiara penuh dan sifat ibu yang menerbitkan pandangan hidup yang baik kepada anak-anak dalam tatingannya. Dicadangkan selain tindakan undang-undang, kerajaan juga boleh mengambil pendekatan dialog.

Justeru, Majlis Belia Malaysia menawarkan diri sebagai mediator bersama rakan badan gabungan tempatan Majlis Belia Negeri Johor untuk bertukar fikiran, mencari titik semuka menasihati dan mendengar isi fikiran mereka. pendekatan bersifat persuasif begini sesuai untuk mendekati emosi kelompok seusia begini yang masih boleh dikategorikan
remaja yang perlu bimbingan. Kami juga sedia mengaktifkan sayap kumpulan psikologis
untuk turun bertemu lutut dengan pelaku untuk mendapatkan penanda aras realiti yang
mendorong sikap begitu.

Tingkah laku ini walaupun daripada segi perundangannya masih belum diputuskan, namun daripada sudut kesopanan ianya dilihat songsang daripada kesusilaan. Kita kembali mewajarkan bahawa tekanan sosial anak muda yang didorong desakan survival ekonomi harian wajar perlu dicari penyelesaian oleh kumpulan ekonomi kerajaan.

Andai didapati terdapat pengaruh kebejatan dan berantak akhlak, elok dirapati oleh
pendekatan kerohanian samada sufistik atau setidaknya khidmat kaunseling yang boleh
diwujudkan di peringkat MBNJ, MBM atau institusi yang berautoriti. Kerajaan juga perlumenyediakan alternatif segera program ekonomi bersifat hasil semerta (low hanging fruit) ke kawasan terkecil iaitu mukim dalam sebuah daerah untuk dipetik oleh kumpulan sasar.

Menyingkap Perbezaan

Perbezaan harus dan pasti berlaku. Manusia akan terus berbantahan sehinggalah hari
perhitungan. Entah kerana kurangnya pengetahuan atau belum sampainya, atau kurangnya pergaulan, atau warna kepuakan, atau sikap sombong pongah, atau memang hobinya bertengkaran kerana banyak waktunya untuk memperbesarkan hal yang berbeza itu.

Semua boleh dialasankan. Tetapi, dalam banyak perbantahan, warna politik paling sering dikeraskan. Cuma satu yang patut dibangunkan bagi menghadapi ini – sikap santun dan hormat. Setuju bahawa ada perkara yang kita tidak setuju. Tetapi, kita bersetuju bahawa orang itu memiliki pandangan sendiri terhadap perkara itu, lantaran alasan yang dinyatakan tadi.

Politik adalah warna yang sering berbolak balik. Boleh jadi kita berada dalam kumpulan ini, akan datang siapa tahu kita akan berseberangan dengan kumpulan yang dahulu. Menguruskan perbezaan ini perlukan sikap lapang dada.

Sudah pasti kita perlu mengiktiraf premis ini memahami titik-titik yang menyatukan dan
mengasingkan. Anak muda disaran menggauli pelbagai ragam latar belakang, bidang tujahan (niche area) dan pemikiran samada ia nasionalis, islamis, konservatif, progresif, tradisionalis, modenis, konformis, intelektualis, aktivis dan sebagainya untuk menangani pendekatan keras dan konfrontatif.

Luaskan pembacaan, tingkatkan budaya ilmu, perbanyakkan dialog dan pertautan dengan pelbagai kelompok dan jika mampu, berangkatlah keluar meninggalkan tempat mata tertegak untuk beberapa waktu, melihat warna warni dunia luar.

Memiliki ini tidaklah sesekali akan membatasi perhatian kita untuk tetap memiliki pendirian thabit dalam perkara-perkara yang kita percayai termasuk pertimbangan pilihan politik. Ia tidak dipengaruhi angin dan terik matahari. Akarnya tidak berumah di tanah, tetapi tertanam di dalam dada.

Nantinya, akan memberikan kecairan sedikit terhadap ketaksuban kelompok. Keluasan dunia diukur adalah kutub lawan kesempitan. Sering yang membawa pertengkaran dan perbantahan pada sesuatu perkara itu lazimnya pada yang berdada sempit. Sangat berbeza halnya dengan sikap orang yang luas perhatian dalam kalangan yang luas pergaulan.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia
Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia

2 Komen

Comments are closed.