KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang menjangkakan peralihan dalam globalisasi perniagaan iaitu daripada fizikal kepada dalam talian, telah melancarkan program perintis Kempen Pemasaran Digital.
Inisiatif pembelajaran berasaskan projek ini bertujuan meningkatkan keupayaan pemasaran digital syarikat pertengahan (MTC) tempatan melalui platform media sosial sebagai elemen teras di bawah Program Pembangunan MTC (MTCDP).
“Pengenalan elemen Kempen Pemasaran Digital dalam program itu akan membantu peserta mempelbagaikan usaha globalisasi mereka disamping mencari peluang untuk mengatasi halangan perdagangan sedia ada termasuk sekatan fizikal akibat pandemik global, katanya.
Selain itu, program berkenaan juga akan membolehkan peserta mengenal pasti pendekatan yang terbaik bagi usaha pemasaran media sosial untuk jualan eksport dan seterusnya melancarkan sekurang-kurangnya satu kempen proaktif dalam platform terpilih mereka seperti Facebook, Alibaba atau LinkedIn, katanya.
“Yang lebih penting, MTC boleh memperoleh kemahiran mampan dan membangunkan pelan yang akan membantu mereka dalam aktiviti penjenamaan termasuk pemasaran mereka.
“Melalui teknik yang berkesan dalam mewujudkan kandungan yang senada dengan saluran media yang paling sesuai, peserta boleh meningkatkan trafik ke halaman mereka dan menarik pelanggan baharu, sekali gus memacu jualan tambahan dalam pasaran eksport baharu atau sedia ada,” tambah Matrade.
Selain itu, peserta juga akan mendapat manfaat daripada sesi libat urus dengan pakar pasaran untuk bersama-sama mewujudkan kempen pemasaran digital serta mendapatkan pandangan semasa mengenai topik yang relevan, termasuk pemasaran digital tidak langsung dan menjalankan kempen pemasaran yang lebih tangkas.
MTCDP yang dilancarkan pada 2014 merupakan program pembangunan eksport untuk memudahkan MTC meningkatkan keupayaan eksport dan daya saing global.
Sehingga kini, sebanyak 275 peserta telah dilahirkan melalui program tersebut sehingga mampu menjana hasil eksport tambahan sebanyak RM2.6 bilion menjelang 2019.
MTC di Malaysia ditakrifkan sebagai syarikat milik tempatan dengan hasil tahunan antara RM20 juta dan RM500 juta bagi syarikat dalam sektor perkhidmatan dan daripada RM50 juta kepada RM500 juta untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pembuatan.
“MTC memainkan peranan penting dalam memacu eksport disebabkan MTC dan syarikat besar mewakili sekurang-kurangnya 82.1 peratus daripada eksport negara pada 2019,” tambahnya.
Syarikat yang berminat boleh menghubungi Unit Peringkat Pertengahan Matrade di [email protected] untuk maklumat lanjut atau jika berminat bagi menyertai program itu. – MalaysiaGazette