Home Nasional Pengganggur serang penguat kuasa MBPP diberkas

Pengganggur serang penguat kuasa MBPP diberkas

Suspek serang anggota MBPP dibawa ke Balai Polis Pulau Tikus hari ini.

GEORGE TOWN – Polis menahan seorang wanita yang bertindak menumbuk perut dan membaling pisau kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika menjalankan tugas di Pasar Awam Pulau Tikus di sini pada Ahad lalu.

Bertindak atas risikan dan maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Pulau Tikus menahan suspek berusia 58 tahun itu pada jam 1.30 tengah hari tadi di kediamannya di Jalan Burma di sini.

Soffian Santong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil soal siasat wanita yang tidak bekerja itu mengaku bertindak kasar ke atas anggota MBPP kerana tidak puas hati dengan tindakan mereka menutup laluan di pasar tersebut.

Katanya, dalam serbuan itu pihak polis turut merampas sebilah pisau potong buah berukuran 12 sentimeter yang digunakan suspek ketika kejadian.

Pisau dalam milikan suspek yang dirampas pihak polis.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Suspek ditahan di kediamannya di Jalan Burma di sini hari ini.

MalaysiaGazette semalam melaporkan polis sedang mengesan seorang wanita yang menumbuk serta membaling pisau ke arah anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Awam Pulau Tikus di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai penguat kuasa MBPP berhubung kejadian itu pada jam 1.38 tengah hari pada Ahad lalu.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati wanita itu ditegur anggota penguat kuasa MBPP susulan memasuki laluan tikus di pasar berkenaan tanpa memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette