KUALA LUMPUR – Peningkatan jumlah pesakit dalam kalangan kaum Cina dikaitkan dengan aktiviti makan-makan apabila kerajaan membenarkan makan di kedai sebelum ini.
Ketua Pasukan Sanitasi DAP Balakong, Selangor, Lee Khai Ming yang menjalankan kerja-kerja nyahkuman berkata, banyak kes yang diterima pihaknya sebelum ini adalah membabitkan kaum Cina.
Katanya kepada China Press, kebenaran makan di kedai dipercayai menyebabkan orang ramai berkumpul dan mereka menanggalkan pelitup muka semasa makan, sekali gus memudahkan jangkitan berlaku.
“Kes yang dimaklumkan kepada kami sebelum ini banyak melibatkan kaum Cina yang jika dihitungkan, mereka mendapat jangkitan semasa makan di kedai dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, pemerhatian mendapati jumlah kes membabitkan “makan-makan” telah menurun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang melarang makan di kedai.
Walau bagaimanapun, Khai Ming percaya keadaan terburuk belum berlaku kerana pasukannya mula menerima permohonan sanitasi membabitkan surau-surau yang berlaku kes jangkitan.
Katanya, ramai keluarga Melayu juga dikhuatiri terjangkit COVID-19 sebelum ini, tetapi tidak mahu menerima ujian jika menunjukkan simptom ringan disebabkan musim perayaan Aidilfitri.
Ujarnya, disebabkan musim perayaan, sesetengah orang mungkin cenderung melihat tanda-tanda kecil sebagai demam biasa dan tidak mahu disaring. – MalaysiaGazette