Home Sukan Brighton bangkit belasah juara EPL Man City

Brighton bangkit belasah juara EPL Man City

Juara EPL musim 2020/21 dikejutkan oleh Brighton apabila dibelasah 3-2 dalam aksi domestik di Stadium Amex awal pagi tadi.

LONDON – Kehadiran semula penyokong ke stadium untuk dua perlawanan terakhir LIga Perdana Inggeris (EPL) telah memberi suntikan luar biasa kepada pasukan Brighton kali ini.

Ia dapat disaksikan sendiri oleh Pep Guardiola yang terkilan dengan aksi tuan rumah itu sehingga memberi amaran bahawa Manchester City perlu memperbaiki segera kelemahan untuk aksi final Liga Juara-Juara Eropah pada 29 Mei ini.

Teguran itu hadir selepas anak buahnya dibelasah Brighton yang bangkit menang 3-2 di Stadium Amex dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Selaku juara baharu EPL musim ini, the Citizens akan berdepan seterunya Chelsea dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Selaku pelawat, anak buah Pep mengejutkan tuan rumah dengan gol terawal minit kedua menerusi Ilkay Gundogan.

Bagaimanapun kejutan diterima skuad kendalian Pep apabila Joao Cancelo dilayang kad merah dan dibuang padang selepas didapati menerjah Danny Welback di atas padang dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Man City terus menguasai perlawanan dengan serangan bertubi-tubi di kubu pertahanan tuan rumah namun buntu mencari gol kedua sebelum separuh masa pertama berakhir dengan 1-0 memihak pelawat.

Namun bintang muda tengah the Noisy Neighbours itu Phil Foden memberi sedikit kelegaan selepas menggandakan gol pasukan menerusi usaha solo pada minit ke -48 separuh masa kedua.

Bagaimanapun, keselesaan itu tidak kekal lama untuk juara baharu EPL itu selepas tuan rumah berjaya bangkit membuka gol menerusi Trossard dua minit kemudian.

Dengan berbekalkan semangat itu, Brighton terus mengasak kubu lawan sebelum berjaya mengejutkan anak buah Pep dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72.

Brighton tidak memberi ruang dan peluang kepada Manchester City untuk memikirkan strategi balas apabila terus menyerang kubu lawan itu dan berjaya merobek gawang gol dengan gol ketiga yang juga kemenangan pada minit ke-76.

Ternyata Manchester City tidak langsung menjangkakan kebangkitan luar biasa yang dipamerkan Brighton di hadapan mereka sendiri dengan sorakan penyokong sendiri yang dibenarkan masuk stadium di dua perlawanan terakhir liga musim ini. – MalaysiaGazette