Home Nasional Penghadang longkang ancam nyawa penduduk

Penghadang longkang ancam nyawa penduduk

Kerosakan rangka besi penghadang longkang di Jalan Thean Teik, Pulau Pinang didakwa mengancam pejalan kaki yang melalui laluan tersebut.

GEORGE TOWN – Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri membaiki rangka besi penghadang longkang di Jalan Thean Teik, Ayer Itam dan Lintang Paya Terubong 2 yang didakwa mengancam nyawa penduduk setempat.

Ketua Pemuda, Andrew Teow Chin Siang berkata, gesaan itu dibuat khusus terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memandangkan beliau merupakan wakil rakyat yang dipilih penduduk kawasan berkenaan untuk mewakili mereka menyuarakan isu berbangkit kepada kerajaan negeri.

Jelas Andrew, aduan berhubung kerosakan rangka besi penghadang longkang itu sudah dibuat penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu dan kegagalan kerajaan negeri membaikinya menunjukkan kecekapan mereka menangani masalah rakyat diragui.

Andrew menunjukan rangka besi rosak di Lintang Paya Terubong 2 yang mengancam keselamatan pejalan kaki.

“Kita gesa kerja penyelenggaraan untuk membaiki rangka besi itu perlu dilakukan secepat mungkin agar tiada insiden tidak diingini menimpa penduduk setempat khususnya pejalan kaki yang melalui laluan tersebut.

“Kita juga tidak mahu insiden seorang warga emas maut akibat terjatuh dalam longkang susulan kerosakkan besi penghadang pada Ogos tahun lalu berlaku di dua lokasi ini,” katanya pada sidang media secara online hari ini.

Tambah Andrew, pihaknya berharap kerajaan negeri menggantikan besi penghadang longkang yang kalis karat atau penghadang berasaskan batu yang lebih kukuh bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi dua lokasi tersebut mendapati laluan berkenaan digunakan penduduk setempat untuk ke perhentian bas, masjid serta pasar raya berhampiran.

Leng

Seorang warga emas yang ingin dikenali sebagai Leng,68, berkata, laluan di Jalan Thean Teik itu merupakan laluan hariannya untuk ke tempat kerja.

“Kerosakan besi penghadang ini boleh mengundang pelbagai ancaman buat orang ramai khususnya warga emas seperti saya serta kanak-kanak yang melalui laluan ini.

“Setiap kali lalu di sini nyawa saya ibarat dihujung tanduk tambahan pula saya pulang dari tempat kerja malam adakalanya tiada lampu jalan cuaca gelap risiko untuk saya terjatuh dalam longkang itu amat tinggi.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan segera membaikinya agar keselamatan penduduk serta orang awam yang melalui laluan ini terjamin,” ujar Leng. – MalaysiaGazette