Home Utama Masalah lalat R&R Machap tiada berpenghujung

Masalah lalat R&R Machap tiada berpenghujung

Mee Kari yang dimasuki lalat .

AYER HITAM – Tempat bersih, lokasi cantik dan makanan yang dijual tidak kurang sedapnya.

Malangnya, masalah lalat yang bertahun-tahun menghantui peniaga-peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap masih belum dapat diatasi.

Peniaga dan pekerja di R&R Machap yang ditemui MalaysiaGazette berkata, masalah lalat di kawasan itu bagai tiada penghujungnya meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Seorang wanita yang berniaga pelbagai jenis makanan di R&R itu berkata, musim panas sejak kebelakangan ini telah memburukkan keadaan apabila jumlah lalat kadang-kala luar biasa banyaknya.

Ini kerana, MalaysiaGazette difahamkan sebuah kilang ayam berada tidak jauh daripada kawasan tersebut.

“Masalah lama tetapi macam inilah masih belum dapat ditangani. Bukan salah PLUS tetapi kehadiran kilang ayam dan ladang-ladang ayam di sekitar ini masih belum ditangani oleh kerajaan negeri.

“Yang menjadi masalah adalah kepada peniaga. Bersih mana pun kedai kita tetap ada lalat,” katanya yang enggan namanya didedahkan.

Sementara itu, seorang pekerja am yang membersihkan R&R itu berkata, kebersihan di kawasan R&R tersebut sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha menangani masalah lalat.

“Kawasan tempat makan memang sentiasa bersih. Kawasan lantai akan disapu dan dimop berkali-kali supaya bersih. Begitu juga dengan meja bagi elak kawasan-kawasan berkenaan diharungi lalat,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati jumlah lalat yang banyak menyebabkan para peniaga menggunakan pelbagai cara untuk menutup makanan mereka.

Walaupun lantai di R&R Machap bersih tetapi lalat masih kelihatan.Ada yang menggunakan tirai, lilin, serai wangi dan alat menangkap lalat di pasang di gerai-gerai mereka.

Namun ia masih belum cukup untuk mengelakkan lalat daripada memasuki premis mereka.

Ketika wartawan MalaysiaGazette membeli semangkuk mi kari, belum pun sempat dibawa keluar, seekor lalat telah memasuki makanan tersebut.

Menurut peniaga, kejadian seumpama itu memang kerap berlaku menyebabkan peniaga terpaksa mengganti makanan baharu kepada pelanggan.

“Percayalah masalah ini tidak akan selesai, sehinggalah kilang ayam dan ladang-ladang ayam dipindahkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau nyamok kkm akan saman sampai 500 ringgit . tapi tidak pula lalat. mungkin lalat tak berbahaya kot . kalau kumpul banyak2 bolih goreng buat hidangan di R&
    R itu.

Comments are closed.