KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan dengan tertangkapnya seorang wanita di Taman Danau Kota di sini Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, wanita berusia 43 tahun itu ditahan menerusi satu operasi khas yang dijalankan sepasukan anggota JSJN Kuala Lumpur dan Johor kira-kira pukul 5.37 petang.
Menurut Adnan, wanita itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta Toyota Yaris.
“Hasil pemeriksaan di dalam bonet kenderaan dan sebuah kondominium di Taman Ibu Kota Setapak, polisĀ berjaya membuat rampasan dadah yang disyaki methamphetamine dianggarkan seberat 10.10 kilogram (kg) dan heroin seberat 0.15 kg.
“Turut dirampas sebuah kereta jenis Volkswagen, lima bentuk cincin emas, tiga utas rantai tangan emas, dua utas rantai leher emas, seutas jam tangan dan wang tunai RM5,478,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, siasatan awal pihak polis mendapati kondominium itu disewa selama empat bulan oleh suspek dengan bayaran sewa RM1,500 sebulan.
Katanya lagi, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau.
“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang.
“Kita anggarkan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 11,116 orang pengguna manakala nilai rampasan dan sitaan secara keseluruhannya berjumlah RM495,655,” ujarnya.
Tambah Adnan, suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula semalam sehingga Isnin depan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette