Home Nasional Hanya 3.3 peratus penduduk Selangor divaksin, peratus masih rendah – Mariah

Hanya 3.3 peratus penduduk Selangor divaksin, peratus masih rendah – Mariah

Dr. Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM – Sehingga kini hanya 3.3 peratus sahaja penduduk Selangor telah menerima vaksin, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam negeri berkenaan Dr Siti Mariah Mahmud.

Peratusan itu disifatkannya rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk negeri tersebut iaitu 6.7 juta orang.

Sehubungan itu, beliau memohon kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk Selangor, bagi mengawal penularan Covid-19.

“Jadi tidak sampai lima peratus pun rakyat Selangor telah divaksin. Jumlah ini lebih rendah daripada jumlah penduduk  yang telah divaksin di Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Pahang, Perlis,” katanya ketika sidang media khas Covid-19 Negeri Selangor di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk perlu divaksin meliputi golongan sasaran khususnya warga emas dan pekerja.

“Ini kerana kita tahu yang duduk di Lembah Klang ada daripada luar-luar negeri. Dengan percepat pemberian vaksin akan dapat mengurangkan risiko penularan,” jelas Siti Mariah lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan sehingga kini lebih kurang satu juta pekerja melibatkan 3,500 buah syarikat akan membeli vaksin daripada kerajaan Selangor.

Untuk rekod kerajaan negeri sebelum ini berkata, golongan yang dilihat perlu diutamakan dalam pemberian vaksin adalah pekerja industri kilang.

Susulan itu, Mariah berkata, kerajaan Selangor menggalakkan majikan membeli vaksin untuk diberikan kepada pekerja sebagai usaha mencegah penularan Covid-19. – MalaysiaGazette