Home Politik MIC Segambut sokong Vigneswaran menang tanpa bertanding jawatan Presiden

MIC Segambut sokong Vigneswaran menang tanpa bertanding jawatan Presiden

KUALA LUMPUR – MIC Bahagian Segambut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tan Sri Vigneswaran untuk terus menjawat jawatan Presiden bagi penggal 2021- 2024.

Ketua Bahagian MIC Segambut, Datuk Sivakumar Nadraja yang mewakili Pengerusi 24 cawangan  lain sebulat suara mahu Vigneswaran terus meneraju parti dan memegang jawatan tersebut secara menang tanpa bertanding.

“Saya selaku pengerusi bahagian Segambut dan pengerusi cawangan di bahagian Segambut bersama 24 pengerusi di cawangan Segambut ingin memberikan sokongan tidak berbelah bahagi serta taat setia kepada Tan Sri untuk meneruskan mandat.

“Saya sendiri secara peribadi merasakan parti ini masih memerlukan kepimpinan beliau untuk memacu MIC ke tahap lagi tinggi malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami telah melalui pelbagai titik hitam termasuklah kekalahan cukup besar pada pilihan raya sebelum ini.

“Dengan adanya pemimpin seperti Tan Sri (Vigneswaran), hala tuju MIC sebenarnya lebih jelas malah sokongan akar umbi serta masyarakat setempat juga semakin dekat dengan kami. Seandainya pemimpin nombor satu itu tidak betul, maka susah untuk kita kelak, beliau yang selayaknya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sivakumar juga yakin pandangannyai juga dipersetujui pengerusi cawangan parti lain kerana rata-rata mereka juga dapat merasakan kepimpinan serta dedikasi Vigneswaran sebagai ketua parti MIC.

Semalam pemilihan bagi jawatan presiden MIC dijangka mungkin ditangguhkan hingga 12 Jun daripada tarikh 5 Jun yang ditetapkan sebelum ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir pada 7 Jun.

Bagaimanapun kata Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan perkara itu bergantung kepada hasil hari penamaan calon pada 26 Mei di ibu pejabat parti sama ada akan terdapat pertandingan untuk jawatan tertinggi tersebut.

“Sekiranya hanya ada satu calon, maka presiden baharu akan diumumkan pada 5 Jun. Bagaimanapun, jika terdapat lebih daripada seorang, maka pemilihan akan diadakan pada 12 Jun selepas PKP,” kata Asojan.

Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran (kiri) berbincang sesuatu dengan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan (dua kiri)

Tempoh jawatan presiden semasanya akan tamat pada 14 Julai.

Sebelum ini dilaporkan pemilihan bagi jawatan tertinggi lain MIC akan diadakan selepas pemilihan presiden parti bergantung kepada situasi negara.

MalaysiaGazette turut difahamkan ketika ini belum ada calon yang menjadi sebutan selain Vigneswaran yang sebelum ini merupakan mantan Yang diPertua Dewan Negara.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Wilayah Persekutuan pihaknya juga berharap jawatan Timbalan Presiden MIC juga dikekal dipegang oleh penyandang, Datuk Seri M Saravanan.

“Kombinasi Tan Sri Vigneswaran dan Datuk Seri Saravanan adalah pilihan terbaik sebagai pemimpin nombor satu dan nombor dua ketika ini.

“Malah sehingga saat ini, Tan Sri sentiasa memberikan kepentingan kepada timbalannya untuk juga memimpin serta membuat keputusan dalam parti, sememangnya jarang sekali dapat lihat ‘persabahatan erat’ seperti ini dalam parti politik.

“Hubungan akrab ini juga perlu dicontohi oleh semua akar umbi terutamanya pengerusi bahagian, cawangan dalam MIC malah semua parti politik lain bagaimana dua pemimpin utama bersatu padu menerajui parti,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MIC dijangka tangguh pemilihan presiden – Asojan