Home Nasional 1,758 kes aduan diterima libat Program PenjanaKerjaya – Saravanan

1,758 kes aduan diterima libat Program PenjanaKerjaya – Saravanan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap kepada media mengenai Akta 446 di Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravan. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR  – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 1,758 aduan sehingga semlam yang melibatkan bayaran yang meragukan dan isu bayaran gaji pekerja oleh majikan bagi memohon insentif kewangan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi menerusi Program PenjanaKerjaya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sebanyak 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna dan baki 187 kes masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya.

Jelas beliau, Perkeso juga menerima sejumlah RM85.1 juta melibatkan lebih 8,000 majikan yang gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah Program Subsidi Upah.

“Majikan ini telah membuat bayaran balik kepada Perkeso dan saya memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang membuat tuntutan palsu.

“Mana-mana majikan yang membuat pemalsuan maklumat dan menggunakan data peribadi individu tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya juga mengarahkan pihak Perkeso untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang telah dibayar kepada majikan tersebut sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan,” katanya pada sidang media secara atas talian di sini hari ini.

Sidang media itu diadakan bagi mengulas dakwaan penyalahgunaan maklumat peribadi pekerja dan tuntutan palsu oleh pihak majikan bagi memohon insentif kewangan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi menerusi Program PenjanaKerjaya daripada kerajaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

PERKESO tidak pernah melantik mana-mana orang tengah untuk menguruskan permohonan Program PenjanaKerjaya.

Berhubung perkara itu, Saravanan memberitahu, Perkeso juga telah mengesan satu video yang mendakwa kewujudan sindiket melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0.

Jelas beliau, video tersebut memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Kamache Doray Rajoo.

“Saya dimaklumkan pihak Perkeso telah meneliti dakwaan berkenaan dan hasil siasatan awal mendapati terdapat majikan yang tidak bertanggungjawab dan mencuba untuk membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0.

“Rekod Perkeso mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan. Bagaimanapun, ini merupakan satu taktik yang digunapakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program ini.

“Pihak majikan juga didapati telah membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai Perkeso dengan 36 orang pekerja menandatandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit.

“Kes ini kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan dan sekiranya perlu akan dirujuk kepada agensi penguatkuasa dan pihak Perkeso juga telah menasihatkan YB Kamache Doray Rajoo untuk membuat laporan polis dengan kadar segera untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sarvanan menegaskan, kementerian menerusi pertubuhan itu terus komited untuk melaksanakan amanah yang diberikan kerajaan selain menjamin data peribadi yang diterima tidak pernah diberikan atau dikongsi kepada pihak ketiga.

“Saya menyeru semua pencari kerja tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi melalui medium WhatsApp ataupun media sosial.

“Majikan pula dinasihatkan untuk membuat permohonan insentif melalui Sistem PenjanaKerjaya di laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my secara terus, dan tidak melalui mana–mana ejen.

“Pihak Perkeso tidak pernah melantik mana-mana orang tengah untuk menguruskan permohonan program ini,” katanya. – MalaysiaGazette