Home Seni Hidup Neelofa, PU Riz didakwa di mahkamah esok?

Neelofa, PU Riz didakwa di mahkamah esok?

Foto Instagram Neelofa.

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Neelofa akan didakwa di mahkamah esok berhubung pelanggaran prosuder operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

Difahamkan turut didakwa bersama adalah suaminya, PU Riz di Mahkamah Majistret Dua Seremban, Negeri Sembilan pukul 9 pagi.

Menurut sumber, pasangan suami itu akan dituduh berhubung kesalahan merentas negeri ke Nilai 3 di negeri itu untuk membeli karpet.

Pada 4 Mei lalu, pengacara dan usahawan popular dan pendakwah bebas itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman yang mengesahkan hal itu berkata siasatan akan dilakukan mengikut perundangan yang ada dan tiada sebarang keistimewaan diberi.

Neelofa, 32, dan PU Riz atau nama sebenarnya, Haris Ismail, 26, disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Kawalan Pergerakan Bersyarat 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Video berdurasi 15 saat yang dimuat naik Neelofa di Instagram Story memaparkan beliau dan suami berada di sebuah kedai dipercayai di Pusat Borong Nilai 3, Nilai tular pada 1 Mei lalu.

Bekas pengacara MeleTOP itu kemudian memadamkan video tersebut selepas perkara itu menjadi tular dalam kalangan netizen.

Sebelum itu, pasangan selebriti tersebut dan keluarga dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 kerana didapati bersalah melanggar SOP PKPB.

Isu itu timbul selepas beberapa foto menunjukkan jemputan yang hadir ke majlis perkahwinannya tidak mematuhi SOP PKPB ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tular di media sosial.

Neelofa dan PU Riz diijabkabulkan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Mereka juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah sub peraturan 4(2)(d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis ketika berada di Pulau Langkawi untuk berbulan madu.

Semalam, Neelofa turut memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama sembilan lagi ahli keluarganya berhubung dakwaan melanggar SOP Aidilfitri.

Terdahulu media melaporkan selebriti itu disiasat polis kerana didakwa ingkar arahan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sambutan Aidilfitri bersama keluarganya baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, polis menerima satu laporan kira-kira pukul 10.25 malam kelmarin membabitkan keluarga selebriti berkenaan yang merakam detik sambutan raya pada 1 Syawal di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail, di sini. – MalaysiaGazette