KUALA LUMPUR – Jentera-jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diperingkat bahagian dinasihatkan agar tidak mudah ‘merajuk’ sekiranya calon mereka tidak dipilih pucuk pimpinan pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata,
pemilihan calon untuk bertanding dalam PRU diputuskan setelah melihat secara menyeluruh terhadap calon yang diketengahkan.
“Cuma saya minta mereka ini tidak terlanjur, jika permintaan tidak dipenuhi tidak bekerja untuk membantu calon itu semasa pilihan raya.
“Itu susah kerana apabila dibubarkan (Parlimen) nanti nak ambil masa pula nak pujuk-pujuk mereka (calon tidak terpilih).
“Sebelum ini, ada perkara-perkara itu berlaku dan terpaksa mengambil masa dua hingga tiga hari nak pujuk mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, kepimpinan peringkat bahagian perlu menunjukkan kesungguhan dan memberi jaminan kepada pucuk pimpinan bahawa mereka dapat mengawal jentera mereka di bawah dan memastikan semua itu tidak akan berlaku.
Beliau turut memberikan jaminan bahawa sekiranya langkah itu dapat dilakukan kepimpinan peringkat tertinggi akan membuat penilaian secara inklusif dan akan meletakkan calon yang diminta terutama di Bandar Tun Razak.
Bagaimanapun katanya, pada masa ini apa yang lebih penting adalah individu yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan mestilah daripada calon boleh menang tidak kita sama ada mereka daripada UMNO, MCA atau MIC.
Hishamuddin turut mengingatkan agar mereka yang mudah terguris hati supaya tidak melibatkan diri dalam politik kerana ia hanya akan menyukarkan.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dalam ucapannya meminta agar pimpinan tertinggi parti meletakkan calon UMNO untuk bertanding peringkat Parlimen di Bandar Tun Razak.
Katanya, UMNO di semua peringkat bahagian itu telah melakukan kerja keras bagi memastikan BN menang dalam pilihan raya dan inisiatif itu mewajarkan calon UMNO diberi peluang untuk bertanding.
“Kita di sini bekerja untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak akan terus menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishamuddin akan kekal menjadi menteri kanan atau yang lebih tinggi lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette