Home Nasional Warga emas temui ajal di puncak Bukit Soga

Warga emas temui ajal di puncak Bukit Soga

Pihak bomba mengangkat mangsa menggunakan pengusung membawa mayat warga emas mati di Bukit Soga, Batu Pahat, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun meninggal dunia ketika melakukan aktiviti riadah bersama isteri dan anaknya di Bukit Soga, Batu Pahat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata, dalam kejadian 5.35 petang itu, mangsa, Gan Tian Guan mengadu sakit kepala sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa tinggal di Taman Putera di sini beriadah mendaki Bukit Soga bersama isterinya berusia 54 tahun dan anak perempuannya berumur 19 tahun pada jam 4 petang.

“Ketika itu mereka  di puncak bukit pada ketinggian 286 meter, mangsa mengadu pening kepala dan terjatuh lalu tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, anak mangsa kemudian bergegas turun untuk meminta bantuan orang ramai bagi menghubungi pihak hospital, polis dan bomba.

“Si mati  disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) yang hadir ke lokasi,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II, Rohaizat Hamdan berkata, pihak bomba mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada polis bagi urusan selanjutnya.- MalaysiaGazette