Home Nasional Pulangkan balik duit Najib, saya bagi 24 jam – Shafee

Pulangkan balik duit Najib, saya bagi 24 jam – Shafee

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) bercakap pada sidang media berhubung penolakan pemohonan kerajaan melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberikan 24 jam kepada pihak berkuasa untuk memulangkan wang sebanyak RM114 juta yang disita dari Pavilion Residences pada 2018 kembali kepada pemilik asalnya, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam yang mewakili Najib itu berkata, Mahkamah Tinggi sendiri telah memutuskan wang itu terbukti bukan hasil dana aktiviti penyewelengan pecah amanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak ada keperluan untuk mereka simpan lagi wang itu, hakikatnya mereka perlu risau untuk terus simpan wang yang pemiliknya asalnya adalah Najib, lagi lama mereka simpan lagi tindakan itu menyalahi undang-undang.

“Undang-undang telah bersuara, wang yang disita perlu dipulangkan kembali. Wang itu telah disita di Pavilion Residences dalam pemilikan Datuk Seri Najib pada 2018, ianya disita oleh polis diketuai oleh Datuk Amar Singh dengan cara paling ganas.

“Kini mahkamah telah memutuskan wang sitaan itu bukanlah seperti dakwaan segelintir kononnya dana dari 1MDB, ianya juga tidak dapat dibuktikan oleh pendakwaan.

“Saya beri masa 24 jam untuk pulangkan kembali wang RM114 juta milik Datuk Seri Najib. Aset anak guam saya dirampas begitu sahaja jadi sudah tiba masanya untuk anda pulangkan dengan secepat mungkin, kami sudah tunggu begitu lama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kata Muhammad Shafee lagi, beliau juga agak terkejut dengan tindakan pendakwaan yang tidak pula membuat permohonan rayuan bagi keputusan itu.

“Ikut logik patutnya mereka buat permohonan rayuan, pada saya itu pelik. Tapi tidak apalah. Mereka tidak kata pula hendak merayu,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis pada tahun 2018 dari Pavilion Residences.

BACA: Kejayaan besar bersihkan nama saya – Najib

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal membuktikan wang tunai  itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB. 

Pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan wang yang telah disita itu  hasil aktiviti penyewelengan pecah amanah (CBT).

Jelas beliau, tiada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bagi menunjukkan perkaitan antara dana yang diseleweng daripada 1MDB dengan wang tunai yang disita dari Pavilion Residences.

Bagaimanapun Muhammad Jamil tidak membuat perintah berbangkit (consequential order) dalam keputusan lisannya sama ada RM114 juta itu harus dikembalikan atau tidak yang kini dalam jagaan Bank Negara Malaysia (BNM). -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah tolak lucut hak RM114 juta, pendakwaan gagal buktikan ada kaitan 1MDB

2 Komen

  1. Itu Amar Singh tu dah hilang mana? Tak profesional langsung..siap buat sidang akhbar..malukan PDRM jaaa ..dah masuk gua agaknya…

Comments are closed.