Home Ekonomi 56 tindakan dikenakan kea atas peniaga, pengilang kelapa sawit – MPOB

56 tindakan dikenakan kea atas peniaga, pengilang kelapa sawit – MPOB

Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 tindakan penguatkuasaan telah dikenakan ke atas pemegang lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

Tindakan itu hasil Operasi Bersepadu – Ops Timbang Sawit 2021 di seluruh negara bertujuan untuk membanteras amalan manipulasi timbangan buah kelapa sawit di kalangan peniaga dan pengilang buah kelapa sawit.

Penguatkuasaan itu dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir berkata, pelaksanaan operasi bersepadu manipulasi timbangan sawit itu melibatkan pemeriksaan alat timbang pusat pengumpulan buah kelapa sawit oleh MPOB bersama KPDNHEP.

Menurut beliau, sebanyak lima siri operasi bersepadu dengan 63 lawatan ke premis telah dilaksanakan sehingga 27 April tahun ini.

”Dalam bulan Mac, operasi bersepadu telah dijalankan di Perak dan Sabah engan lawatan di sembilan buah premisremis dan Sarawak 24.

Manakala pada bulan April, operasi bersepadu dilaksanakan di Pahang (Rompin) dengan lawatan di lapan buah premis dan Selangor 13 buah premis.

Daripada jumlah tersebut, tiga daripadanya adalah tindakan kompaun/mahkamah (Manipulasi Timbangan – Peraturan 42, PPLMSM (P) 2005) yang berlaku di Perak.

Manakala sebanyak 53 lagi adalah tindakan amaran/kompaun – Peraturan 21 & 23, PPLMSM (P) 2002, yang mana 12 daripadanya berlakudi Perak, Selangor (15), Sabah (10), Sarawak (13) dan i Pahang (3).

”Kebiasaannya, tindakan penguatkuasaan MPOB terhadap pemegang lesen yang melakukan kesalahan termasuk pengeluaran surat amaran, kompaun dan pendakwaan di mahkamah yang melibatkan denda sehingga RM200,000.

”Bagi pemegang lesen yang mengulangi kesalahan atau tegar, tindakan penggantungan, pembatalan atau lesen MPOB tidak diperbaharui,” katanya.

Menurut beliau, memandangkan kesalahan menipu timbangan buah kelapa sawit amat serius dan memberikan kesan yang amat negatif kepada pekebun kecil, MPOB bersedia dengan tindakan yang lebih tegas yang mana pemborong yang terbukti melakukan penipuan atau manipulasi timbangan buah kelapa sawit akan digantung lesennya serta-merta.

Untuk kesalahan yang sama, tindakan yang lebih tegas akan diambil termasuk pembatalan lesen secara serta-merta.

Menurut Dr. Ahmad Parveez, operasi bersepadu serta tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh MPOB dapat membanteras dan mencegah amalan manipulasi timbangan dalam urus niaga keluaran kelapa sawit yang boleh menjejaskan kesejahteraan industri sawit negara.

”Operasi ini disambut baik oleh pekebun kecil kerana ia dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap industri sawit,” kata beliau.

Tambahnya lagi, MPOB mensasarkan empat lagi pelaksanaan operasi bersepadu di negeri Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Bagi membendung kegiatan tidak sihat dalam industri sawit termasuk penipuan timbang buah kelapa sawit, semua pihak khususnya pekebun kecil yang mempunyai maklumat disarankan untuk melaporkan kepada MPOB untuk siasatan dan tindakan mengikut peraturan pelesenan MPOB.

Menurut Dr. Ahmad Parveez, hampir kesemua aduan daripada pekebun kecil yang diterima MPOB adalah berkaitan dengan timbangan berat yang tidak tepat dan setimpal dengan jumlah buah kelapa sawit yang dihantar kepada penjual sama ada kilang buah kelapa sawit atau peniaga buah kelapa sawit.

Kata beliau, pihak pembeli juga tidak mempamerkan bacaan timbang “weight indicator display’ di premis perniagaan menyebabkan pekebun kecil tidak tahu jumlah berat kasar buah sawit yang dijual.

”Ketidakadilan ini secara tidak langsung telah menyebabkan pekebun kecil mengalami kerugian dan berasa tertipu,” ujarnya.

Selain itu, program penguatkuasaan alatan timbang dilaksanakan bagi memastikan setiap pelesen MPOB yang mempunyai peralatan timbang yang digunakan dalam perniagaan keluaran kelapa sawit mematuhi peruntukan Akta dan Peraturan.

MPOB selaku badan yang bertanggungjawab memastikan kesejahteraan industri sawit negara, mengambil perhatian dan tindakan yang serius dalam menangani isu-isu manipulasi timbangan berat, serta pelbagai pelanggaran peruntukan di bawah akta-akta / peraturan berkaitan yang dikuatkuasakan.

MPOB menjalankan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan peraturan bagi memastikan perkembangan industri sawit yang teratur. Di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582), MPOB diberi kuasa melesenkan 12 aktiviti utama merangkumi 24 kategori lesen dalam industri sawit termasuk urus niaga buah kelapa sawit oleh pekebun kecil, peniaga buah kelapa sawit dan kilang kelapa sawit seperti yang termaktub di bawah Peraturan-peraturan (Pelesenan) 2005 MPOB.

Bagi kes-kes penipuan timbangan buah kelapa sawit, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa KPDNHEP sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan perundangan subsidiari di bawahnya. – MalaysiaGazette