Home Nasional Putrajaya sokong tindakan ketenteraan Arab Saudi

Putrajaya sokong tindakan ketenteraan Arab Saudi

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ber swafoto pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya di Dewan Budiman Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 JULAI 2017

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini menyokong tindakan ketenteraan Arab Saudi yang bertindak melancarkan beberapa serangan udara terhadap ibu negara Yaman, Sanaa, Jumaat lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sokongan terhadap Arab Saudi itu dirasakan patut kerana berpendapat tidak ada mana-mana negara yang boleh menjadikan Mekah dan Madinah sebagai sasaran serangan mereka.

“Kita tidak mahu kota suci masyarakat Islam Mekah dan Madinah dan juga Baitul Maqdis khususnya Masjid al-Aqsa diganggu gugat oleh mana-mana puak yang bersengketa di dalam Islam atau di luar agama Islam.

“Kita juga tidak mahu ada campur tangan daripada pihak-pihak luar yang mungkin akan menggangu gugat kestabilan di Arab Saudi,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya hari ini.

Arab Saudi yang mengetuai pasukan ketenteraan melancarkan beberapa serangan udara terhadap ibu negara Yaman, Sanaa pada Jumaat.

Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya berharap tidak ada mana-mana negara, kumpulan pemisah atau mana-mana kumpulan keganasan yang didalangi pengganas secara peribadi cuba mengambil kesempatan terbabit.

“Kita boleh berbeza pendapat tetapi bukan dengan cara mengorbankan kedua-dua kota suci apatah lagi mengorbankan mana-mana jemaah haji daripada mana-mana negara.

“Islam adalah agama perdamaian, Islam adalah agama kesejahteraan danĀ ini harus dihormati semua umat Islam dan semua agama lain,” tegasnya.

Putrajaya juga kata Zahid sedia untuk menawarkan kerjasama sekiranya Arab Saudi memerlukan bantuan.

“Kita amat bersiap-siaga untuk membantu Arab Saudi dalam apa jua keadaan sekalipun dan mudah-mudahan Arab Saudi tak bersendirian didalam menghadapi permasalahan ini,” katanya. -MalaysiaGazette.