KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang memberikan moratorium automatik selama tiga hingga enam bulan bagi memberi kelegaan kepada rakyat selepas banyak perniagaan merudum sejak awal Ramadan lalu.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ramai peniaga-peniaga kecil mengalami kerugian yang drastik apabila jualan persiapan bagi sambutan perayaan Aidilfitri terpaksa dibatalkan.
Katanya, kerajaan sekurang-kurangnya perlu memberikan pilihan untuk melaksanakan i-Lestari 2.0 atau I-Sinar 2.0 dalam situasi sekarang.
“Anak-anak pula sudah memulakan proses pembelajaran dan pengajaran di rumah. Menteri Kewangan juga perlu bertindak cepat dengan menyalurkan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam belanjawan lalu bagi membantu pelajar…150,000 laptop yang dijanjikan, kemudian “dipinjamkan” masih belum nampak hasilnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Shahir lagi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berjiwa besar untuk mengakui kelemahan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 yang gagal melandaikan kes harian Covid-19, seterusnya memperbaiki SOP PKP 3.0 agar ianya berjaya.
Perkara itu katanya penting agar rakyat tidak perlu melalui PKP 4.0, PKP 5.0 atau seterusnya.
Menurutnya, tanggal 19 Mei 2021 mencatatkan sejarah apabila merekodkan jumlah kes harian tertinggi sebanyak 6,075 kes, manakala kes kematian terus mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh tiga hari berturut-turut, dengan 46 kes dicatatkan.
Trend peningkatan kes kematian juga amat membimbangkan dengan jumlah 272 kematian dalam tempoh satu minggu, ujarnya.
“DPIM mencadangkan agar PKP 3.0 ini diperketatkan seperti mana PKP 1.0 agar kes harian dapat diturunkan dengan drastik. Rakyat makin tertekan dengan PKP yang berlarutan, tetapi separa masak yang menyebabkan kes harian tidak turun-turun.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri Selangor, perlu menerima realiti bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar kes harian dan keadaan ini membimbangkan. Usah politikkan situasi Covid-19 dan tanggungjawab mereka adalah untuk mententeramkan keadaan semasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette