Home Nasional Sektor perkilangan P.Pinang lakukan ujian saringan minggu depan

Sektor perkilangan P.Pinang lakukan ujian saringan minggu depan

Chow Kon Yeow (tengah) ketika mengadakan sidang media secara online hari ini.

GEORGE TOWN – Ujian saringan ‘on-site pooled saliva’ Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 membabitkan sektor perkilangan di Pulau Pinang dijangka bermula minggu depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ujian saringan itu bakal meningkatkan lagi kadar saringan di negeri ini yang memfokuskan sektor perkilangan.

Jelas beliau, pelaksanaan itu merupakan kerjasama kerajaan negeri dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang.

“Pendekatan yang dilaksanakan di bawah program ‘Penang S.A.F.E’ ini dibuat selepas kita mendapat kelulusan secara bertulis daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

“Selain itu, penggunaan saringan menerusi RT-PCR menggunakan sampel air liur iaitu ‘Deep Throat Saliva’ (DTS) ini juga sudah dipersetujui pada peringkat Persekutuan.

“Umumnya, Penang S.A.F.E menyediakan aliran lengkap bagi pelaksanaan saringan massa dalam kalangan pekerja sektor perkilangan dan industri secara berkumpulan serta berterusan, dan bukan hanya tertumpu pada satu-satu masa tertentu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi FMM negeri, Datuk Jimmy Ong berkata, Pulau Pinang mungkin menjadi yang pertama melaksanakan pendekatan ujian saringan berkaitan.

“Ia merangkumi proses pendaftaran, penjadualan sampel, ujian RT-PCR bagi sampel yang dikumpul dan keputusan saringan dalam tempoh 24 jam,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Industri Kecil dan Sederhana juga boleh mengambil inisiatif bersama kerana pelaksanaannya tidak membabitkan beban kewangan yang tinggi berbanding sedia ada.

Maklumat lanjut mengenai Penang S.A.F.E, boleh layari laman sesawang www.penangsafe.com atau email, [email protected]. – MalaysiaGazette