Home Nasional Umat Islam diseru laksana solat hajat, qunut nazilah untuk Palestin

Umat Islam diseru laksana solat hajat, qunut nazilah untuk Palestin

Situasi di Gaza selepas dibedil Israel. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru umat lslam di negara ini melaksanakan solat hajat dan membaca qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan perlindungan rakyat Palestin.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas serangan dan kekejaman tentera lsrael ke atas rakyat Palestin yang  menyebabkan ratusan rakyat Palestin terkorban dan cedera.

MAIS menyifatkan serangan yang bermula sejak penghujung Ramadan tahun ini dan masih berterusan sehingga kini adalah tindakan yang zalim serta mencabul undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Menurut beliau, MAIS menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Malaysia yang akan menerajui bersama-sama dengan lndonesia dan Brunei bagi mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim zionis lsrael ke atas Palestin dalam mempertahankan Masjidil al-Aqsa sebagai tempat suci umat lslam dan kiblat pertama umat lslam.

Abdul Aziz memberitahu, bermula tahun 2012, MAIS bersama rakan strategik MAIS iaitu Pertubuhan lslam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berdaftar di bawah MAIS telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program outreach serta sumbangan dana kepada umat lslam di dalam dan luar negara.

lni termasuklah program pungutan dana dan program-program kerohanian seperti solat hajat, berdoa, bermunajat serta program-program kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang isu Palestin melalui wacana, forum dan sebagainya.

Pihak MAIS turut mengiktiraf pengalaman beberapa PIBK yang telah lebih awal melaksanakan program dan misi bantuan kepada masyarakat lslam
di luar negara yang ditimpa musibah termasuk di Palestin.

Antara 96 buah PIBK MAIS yang berdaftar di bawah MAIS serta aktif memberikan sokongan kepada umat lslam di Palestin ialah Angkatan Belia lslam Malaysia Cawangan Selangor, lslamic Relief Malaysia, MCG (Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global), Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Humanitarian Care Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Aman Palestin Berhad, Muslim Care Malaysia Society dan HALUAN. – MalaysiaGazette