KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan tegas ke atas akaun-akaun media sosial yang jelas memaparkan kandungan berita palsu berkaitan Covid-19.
Menurut Pengerusi MedTweetMY, Dr. Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin mendakwa menerima banyak laporan mengenai akaun yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai wabak itu terutamanya di laman Instagram.
“Saya tertanya-tanya di mana penguatkuasaan Seksyen 233 AKM (Akta Komunikasi dan Multimedia). Banyak saya dapat laporan akaun yang menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 akan tetapi saya lihat tak ada enforcement sama sekali.
“Saya mohon SKMM, KKM dan JKJAV ambil berat mengenai perkara ini. Lagi lama mereka ini dibiarkan, lagi banyak dakyah penipuan mereka boleh sebarkan.
“Tiap hari kami beri kesedaran tapi kami tak mampu nak lawan penyebar berita palsu ini,” katanya menerusi ciapan Twitternya malam tadi.
Menerusi ciapan tersebut, Khairul Hafidz turut mengepilkan tangkap layar sebuah akaun Instagram yang didakwa menyebarkan maklumat palsu milik seorang wanita dengan diikuti lebih 26,000 pengikut.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan rayuan terhadap Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam membendung penyebaran kandungan palsu tersebut.
“Kes makin tinggi, kematian makin meningkat, rakyat makin percaya berita palsu ini, yet no action at all, not even proactively investigate all this accounts,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen pula, rata-rata warganet turut berkongsi tangkap layar berkaitan akaun yang didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai Covid-19 serta meminta orang ramai agar terus berhati-hati dan tidak terpedaya dengan info-info tersebut. – MalaysiaGazette