GAZA – Pejuang Hamas dan Israel sepakat untuk melakukan gencata senjata pada awal pagi ini selepas hampir 11 hari berlaku beberapa siri peperangan.
Perkara itu disampaikan jurucakap Hamas dan Pejabat Presiden Israel Benjamin Netanyahu, semalam.
Keputusan itu dibuat selepas Kabinet keselamatan pejabat Presiden Israel ‘sebulat suara’ menerima cadangan yang diusulkan Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat.
Kumpulan Hamas dan Islamic Jihad juga mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dan memaklumkan ia berkuatkuasa bermula jam 2 pagi hari ini (waktu tempatan).
Menerusi ciapan di Twitter, tentera Israel berkata, Hamas dan kumpulan pejuang Islam lain di Gaza telah menembak sebanyak 4,070 roket ke arah Israel.
Bagaimanapun, kebanyakannya yang disasarkan ke penempatan penduduk berjaya dipintas sistem pertahanan udara Iron Dome.
Rejim Israel telah melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, sejak 10 Mei lalu selepas pejuang Hamas melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.
Ia selepas Hamas memberi kata dua kepada Israel untuk mengundurkan pasukan keselamatannya yang bertempur dengan penunjuk perasaan warga Palestin di Masjid al-Aqsa.
Penunjuk perasaan sebelum itu berhimpun di masjid berkenaan untuk menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim zionis mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.
Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza telah menyebabkan seramai 232 rakyat Palestin maut termasuk 65 kanak-kanak, manakala 1,900 lagi cedera.
Selain itu, pergolakan itu turut memusnahkan beberapa bangunan termasuk yang menempatkan pejabat agensi media antarabangsa Al-Jazeera dan Associated Press. – MalaysiaGazette