![MGF_08052021_PC KKM_12 5,738 new Covid-19 cases have been recorded today and shifted the cumulative Covid-19 tally to 678,764 cases Covid-19 deaths Rt value](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2021/05/MGF_08052021_PC-KKM_12-640x427.jpg)
KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 kes kematian direkodkan hari ini dengan 22 kes di Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 49 kes kematian melibatkan warganegara, manakala satu kes bukan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 2,149 kes atau 0.43 peratus.
Tambah beliau, kes kematian yang direkodkan hari ini turut melibatkan lapan kes di Sarawak, lima di Johor, empat di Kedah, tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua di Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Kelantan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 4,508 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 444,540 kes atau 89.1 peratus, manakala sebanyak 6,493 kes baharu harian dilaporkan menyebabkan jumlah keseluruhan naik kepada 498,795 kes dengan dua kes import (masing-masing seorang warganegara dan seorang bukan warganegara).
Bagi kes tempatan katanya, sebanyak 6,491 kes direkodkan dengan 6,038 adalah warganegara manakala baki 453 kes bukan warganegara.
Berikutan itu, kes aktif pula 52,106 kes dengan 643 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) 643 kes dan 363 memerlukan bantuan pernafasan.
Kata beliau, jumlah kluster pula adalah sebanyak 1,984, termasuk 18 kluster baharu dan jumlah yang ditamatkan ialah 1,455 kluster dengan 529 kluster aktif.
Semalam KKM merekodkan kematian tertinggi dengan 59 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Semua kes kematian itu melibatkan mereka yang berusia antara 37 hingga 91 tahun dengan kebanyakan mereka mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kanser, buah pinggang, jantung, obesiti, strok dan dislipidemia.
“Kita nasihatkan orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.
“Patuhlah SOP sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO,” katanya. – MalaysiaGazette