PUTRAJAYA – Malaysia hari menerima dua lagi penghantaran vaksin Covid-19, AstraZeneca dan CoronaVac (Sinovac Life Sciences Co. Ltd), membabitkan 1,059,200 dos.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebanyak 559,200 dos AstraZeneca daripada tempahan yang dibuat melalui pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, (COVAX) tiba di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 7.50 pagi dengan penerbangan MH6125.
“Manakala vaksin CoronaVac pula tiba pada waktu yang sama melalui penerbangan MH361 iaitu melibatkan sebanyak 500,000 dos dihantar pada hari ini.
“Ketibaan bekalan daripada ini merupakan tambahan kepada stok sedia ada menjadikan jumlah terkini vaksin AstraZeneca yang sudah diterima daripada COVAX adalah 828,000 dos dan stok yang diperolehi sebelum ini adalah sebanyak 268,800 dos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Khairy berkata, satu lagi penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca daripada COVAX dengan jumlah yang sama, iaitu 559,200 dos, dijangkakan tiba pada hujung bulan ini.
Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)itu menjelaskan, dos AstraZeneca yang diterima sehingga kini telah dipastikan berkualiti, selamat dan berkesan melalui pematuhan ke atas keperluan Lot Release.
Ujarnya, vaksin seterusnya akan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak yang baru sahaja menyertai Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca bermula 5 Mei lalu.
“Ini semua adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk menghebatkan lagi proses vaksinasi di bawah Program PICK dan di bawah peningkatan pemberian vaksin, iaitu satu usaha Kerajaan untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada pandemik Covid-19 akan mula disaksikan pada Jun nanti.
“Seperti yang telah diumumkan semalam, PICK kini berjalan mengikut perancangan dan kadar vaksinasi ke atas penduduk Malaysia akan terus meningkat sejajar dengan pertambahan bekalan vaksin yang bakal tiba dari semasa ke semasa.
“Pada waktu ini, kadar vaksinasi juga mencatatkan peningkatan yang konsisten yang mana sebanyak 60,261 orang telah menerima vaksinasi mereka pada Isnin 17 Mei lalu yang telah meningkat kepada 76,551 (Selasa) dan 83,648 (Rabu),” katanya. -MalaysiaGazette