Home Utama Teladan tidak baik, faktor langgar SOP

Teladan tidak baik, faktor langgar SOP

KUALA LUMPUR – Teladan tidak baik daripada golongan pemimpin membabitkan menteri, ahli politik dan tokoh masyarakat seperti selebriti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) antara faktor masyarakat di negara ini semakin malas patuh pada arahan.

Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dato Dr Teo Kok Seong berkata, kelesuan masyarakat melawan pandemik Covid-19 lebih setahun juga menyumbang peningkatan jangkitan wabak ini hingga tercetusnya sikap sambil lewa dalam pematuhan SOP.

“Sementara masyarakat cuba sedaya upaya mematuhi SOP, seperti tidak pulang beraya di kampung, sesetengah pemimpin memuat turun gambar anak mereka pulang berhari raya, dari seberang laut pula, dan dari negara yang mempunyai varian virus yang amat berbahaya.

“Ini tidak dapat dinafikan menyebabkan masyarakat bukan sahaja berasa semacam ‘tertipu’, mereka juga marah sehingga mengambil keputusan untuk tidak mematuhi SOP secara ketat lagi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang susulan situasi semasa penularan kes baharu Covid-19 yang  semakin membimbangkan hingga mencatatkan jumlah kes hampir 7,000 kes dengan kadar kematian secara purata 40 kes setiap hari.

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu seorang penduduk untuk melakukan ujian saringan . foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2020

Jika sebelum ini, rakyat Malaysia terkenal dengan sikap dan budaya kolektivisme, iaitu amalan yang mengutamakan kepetinggan masyarakat, namun ia dilihat semakin terhakis ketika ini.

Dr Kok Seong berpandangan, ia disebabkan pengaruh dari budaya barat sehingga wujudnya sikap individualisme (mementingkan diri sendiri) yang mengakibatkan sesetengah masyarakat tidak mengendahkan SOP.

“Dalam hal ini, dua budaya itu bertentangan antara satu sama lain, kerana kolektivisme menekankan kerjasama untuk kebaikan masyarakat seluruhnya manakala individualisme menganjurkan persaingan untuk memastikan kehendak kendiri tercapai.

“Secara tidak langsung, ia akan mewujudkan ketidakharmonian sosial dalam masyarakat. Bagi saya, kita yang sesat di tengah jalan dengan individualisme dari barat, hendaklah balik ke pangkal jalan, untuk kembali mendukung kolektivisme yang sesungguhnya adalah cara hidup kita di timur,” katanya.

Tambah beliau, memandangkan situasi ketika ini semakin meruncing dan keadaan ekonomi tidak menentu, masyarakat serta golongan pemimpin tidak harus menunding jari hanya pada satu pihak sahaja.

Sebaliknya, mereka perlu melihat kembali kesalahan pada diri sendiri dalam etika pematuhan SOP yang ditetapkan kerjaaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 secara bersama.

“Untuk kita betul-betul ingin perangi penularan Covid-19 ini, sikap dan tingkah laku kita yang mementingkan diri itu adalah faktor terpenting dalam hal ini. Jika tidak ubah, ia akan terus berlarurtan hingga banyak nyawa terkorban akibat wabak ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette