KUALA LUMPUR – Polis Petaling Jaya telah membuka sebanyak 85 kertas siasatan membabitkan kes penipuan jual beli atas talian bermula bulan Januari hingga Mei tahun ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 kes telah dituduh di mahkamah.
“Setiap hari bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan berkenaan penipuan jual beli atas talian melibatkan penjual dan pembeli.
“Sementara anggaran kerugian yang direkodkan sebanyak RM650,809,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Fakhrudin berkata, orang ramai dinasihati supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran penjualan yang diiklankan seperti di mudah.my, Facebook, Instagram dan lain-lain platform.
Katanya, sebelum membuat sebarang pembelian, semakan harus dibuat terlebih dahulu sebelum pembayaran dilakukan.
“Modus operandi ini tidak menyasarkan mana-mana golongan tetapi penjenayah sentiasa berusaha untuk memperdaya mereka yang leka dengan taktik-taktik baharu.
“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan di laman CCID iaitu http://ccid.rmp.gov.my sebagai pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan atas talian,” ujarnya. – MalaysiaGazette