Home Nasional Amalan harian Almarhum Sultan Ahmad Shah peninggalan bermakna suami isteri

Amalan harian Almarhum Sultan Ahmad Shah peninggalan bermakna suami isteri

Sheikh Ahmad dan isteri, Faridah Abdullah, menunjukkan koleksi gambar lama bersama Almarhum Sultan Ahmad Shah Sultan Al-Musta’in Billah Shah Sultan Abu Bakar

PEKAN – Berbekalkan amalan harian yang diajarkan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah Sultan Abu Bakar, bekas petugas istana, Sheikh Ahmad Sheikh Karim, 71, menjadikan sebagai amalann rutinnya sehingga hari ini.

Sheikh Ahmad berkata, fadhilat besar amalan tersebut dalam kehidupannya hanya mula disedari selepas pemergiannya Almarhum dan beliau berasa bertuah kerana menjadi insan terpilih yang ditinggalkan dengan nasihat bermakna itu.

Sheikh Ahmad yang berkhidmat di istana seawal usia 14 tahun menghayati budi pekerti baginda sebagai pemimpin berjiwa murni, berakhlak mulia, merendah diri selain taat kepada agama.

Kenangan menerima kurniaan sumbangan bot berenjin oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah

“Semasa hayat Almarhum hidup, baginda mengajarkan amalan bacaan bismillah, berselawat, zikir, bacaan yaasin daripada dulu, namun setelah pemergiannya baru terasa betapa besarnya fadhilat amalan ini.

“Akhlak rendah diri dan mulia Almarhum bila masuk kampung, semua bertegur sapa, berseloroh dengan rakyat dan berloghat Pahang.

“Jika Almarhum bertembung dengan orang yang sedang berasikal, Almarhum beri hormat dengan memberi jalan laluan dahulu walaupun baginda raja.

“Jika mendengar kematian, kecemasan, kemalangan, atau ditimpa bencana atau musibah banjir, memang almarhum akan turun bersama rakyat sampai tengah malam.

“Yang saya nampak amalan baik itu saya nampak diturunkan kepada anakanda Yang Di-Pertuan Agong sekarang,” ujar Sheikh dengan sebak dan bergenang  air mata ketika ditemui MalaysiaGazatte.

Bagi Sheikh Ahmad, hanya bacaan Al-Fatihah diiringi setiap hari sebagai pengubat rindu dan mengenang jasa budi Almarhum kepada dirinnya sekeluarga.

Koleksi gambar lama bersama Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar

Sementara itu, isteri Sheikh Ahmad, Faridah Abdullah, 67, berkata, jasa Almarhum dan Almarhumah mengubah nasib hidupnya di Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAFF) apabila menjadi anak angkat kepada pasangan diraja itu sejak berusia 12 tahun.

Ini kerana pasangan diraja ini telah mendidik dan membesarkan dalam Islam, dan menjadi muslim sejati hingga ke hari ini selain bertemu jodoh dengan Sheikh Ahmad di istana.

ARTIKEL BERKAITAN :

Kemangkatan Sultan Pahang ditangisi rakyat

Sultan Pahang angkat sumpah Agong baharu pagi ini

“Almarhum dan Almarhumah banyak berjasa kepada saya, membesar dan mengislamkan saya, terlalu banyak kenangan saya kenang.

“Antarnya amalan kebaikan, mendidik agama sehingga saya hari ini dan apa yang saya kenang juga makanan lepat pisang dan cara membuatnya,” ujarnya sambil mengesat air mata.

Almarhum Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 mula gering pada 2016 dan menerima rawatan intensif di Institut Jantung Negara (IJN).

Baginda menyerahkan tahta kepada anakandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2019 selepas 45 tahun memerintah.

Baginda mangkat dua tahun lalu pada usia 88 tahun pada Hari Nuzul Quran pada 17 Ramadhan bersamaan 22 Mei 2019.

Makam Diraja Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar

Berikutan itu, tarikh 22 Mei ditetapkan sebagai Hari Hol di Pahang bagi memperingati kemangkatan keluarga diraja di negeri ini  – MalaysiaGazette