KUALA LUMPUR – Seramai 3,772,149 orang yang berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat 31 Mac 2017, kata Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 1,454 bantahan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atas daftar pemilih.
“Untuk makluman, Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan bahawa kelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih ialah pemohon merupakan seorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan dan bermastautin dalam mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia,” kata Azalina.
Azalina juga mengulas mengenai isu membabitkan kad pengenalan sementara dengan menegaskan mereka tidak layak untuk mengundi kerana bukan warganegara Malaysia.
“Berhubung dengan isu mengenai kelayakan pemegang kad pengenalan sementara untuk mengundi, mana-mana pemegang kad pengenalan sementara bukan merupakan warganegara.
“Oleh itu, pemegang kad pengenalan sementara tersebut tidak layak untuk mendaftar sebagai pemilih dan seterusnya tidak berhak untuk mengundi dalam pilihan raya umum atau kecil,” katanya. – MalaysiaGazette