KUALA LUMPUR Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menghadkan kapasiti penumpang bagi semua mod perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut sehingga 50% daripada kapasiti maksimum berkuatkuasa hari Selasa ini, 25 Mei 2021.
Ia susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani situasi pandemik Covid-19.
Perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo dikecualikan daripada pengumuman ini berikutan kapasiti penumpang yang sudah rendah.
Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan dan penumpang juga perlu mematuhi SOP ketat seperti yang ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pengangkutan awam adalah perkhidmatan yang penting namun dalam tempoh ini, mengelakkan himpunan secara ramai dan mengurangkan pergerakan adalah perkara yang lebih utama.
”Oleh itu, MOT amat berharap orang ramai dapat bersabar dan memahami situasi sukar ini serta bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di seluruh negara,” kata menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau berkata, MOT akan memantau situasi dari semasa ke semasa untuk mengurangkan ketidakselesaan para pengguna dan orang ramai setakat yang boleh.
Agensi-agensi berkaitan di bawah MOT akan mengemaskini jadual perjalanan termasuk menghadkan frekuensi perkhidmatan.
Pengguna pengangkutan awam digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web rasmi dan media sosial penyedia-penyedia perkhidmatan yang berkaitan.
Manakala bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing pula, setiap kenderaan penumpang dihadkan kepada tiga orang (seorang pemandu
dan dua penumpang), termasuk bagi kenderaan yang bersaiz lebih besar seperti 4WD dan van.
Semua pengguna pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau rentas daerah daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya
menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan yang berkaitan.
Anggota penguatkuasa akan ditempatkan di stesen-stesen serta terminal-terminal pengangkutan awam bagi memastikan pematuhan SOP pencegahan Covid-19
serta memantau keadaan semasa bersama pihak keselamatan agensi yang berkaitan.
Tambah beliau, MOT sekali lagi menyeru pengguna pengangkutan awam agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan di semua stesen dan terminal termasuklah memakai pelitup separuh muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial selagi boleh serta mengimbas kod QR MySejahtera. – MalaysiaGazette