Home Utama 8.2 juta vaksin Sinovac siap menjelang akhir Jun ini – Ismail Sabri

8.2 juta vaksin Sinovac siap menjelang akhir Jun ini – Ismail Sabri

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Syarikat farmaseutikal negara, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dijangka mampu menyiapkan 8.2 juta botol dos vaksin Covid-19, Sinovac dari China yang dikilangkan di syarikat itu, menjelang akhir Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan kemampuan Pharmaniaga untuk menghasilkan kira-kira 500,000 dos setiap minggu, bekalan vaksin itu diyakini memenuhi keperluan kerajaan bulan depan.

“Sehingga semalam (Sabtu, 22 Mei 2021), saya dimaklumkan kilang ini telah menyempurnakan sebanyak 1,889,800 dos vaksin untuk edaran.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 290,480 dos telah diedarkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 11 Mei 2021.

“Jumlah keseluruhan pengeluaran produk vaksin dari kilang ini di Malaysia ialah 2,609,800 dihasilkan sehingga hujung bulan Mei 2021.

“Bermakna kilang ini akhir Jun nanti boleh membekalkan sebanyak 3.8 juta dos vaksin (kepada kerajaan),” katanya pada sidang media bersama Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope secara persidangan Zoom, hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri membuat lawatan kerja ke kilang berteknologi tinggi Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd bagi mengetahui perkembangan terkini dan proses pengilangan “fill & finish” vaksin Covid-19 Sinovac yang dijalankan.

Dalam pada itu, daripada jumlah itu, sebanyak 793,600 dos pula sedang menunggu kelulusan daripada Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dibolehgunakan rakyat.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa setiap pengeluaran kelompok vaksin dari kilang ini mesti mendapat kelulusan NPRA yang dipanggil Lot Release.

“Bakinya, 805,720 dos sedang menjalani 12 ujian kawalan kualiti sebelum menjalani proses Lot Release untuk kelulusan NPRA yang dipastikan akan siap hujung bulan ini,” katanya.

Dalam masa sama, Pharmaniaga telah menerima produk siap guna dari kilang Sinovac dari China sebanyak 1 juta dos yang juga sedang mendapat kelulusan Lot Release NPRA.

“Apabila digabungkan vaksin fill & finish keluaran kilang ini dan juga vaksin siap guna dari China bagi bulan Mei sahaja, Pharmaniaga mempunyai lebih daripada 3.6 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac.

“Untuk bulan Jun pula, Pharmaniaga akan menyiapkan 2 juta dos vaksin fill & finish di kilang ini dan akan menerima 3 juta dos vaksin siap guna dari Sinovac China.

“Maka, jumlah keseluruhan bulan Jun pula ialah 5 juta dos akan disediakan oleh Pharmaniaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette