Home Nasional Pharmaniaga hanya bekal vaksin Sinovac – Ismail Sabri

Pharmaniaga hanya bekal vaksin Sinovac – Ismail Sabri

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal pintu lori sebaik lori yang membawa bekalan vaksin Covid-19 buatan syarikat biofarmaseutikal dari China, Sinovac tiba di Kilang Farmaseutikal Pharmaniaga, Puchong, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal monopoli dalam urusan pembelian vaksin Covid-19 di negara ini yang membabitkan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) hingga didakwa menjadi punca kelewatan kerajaan menerima bekalan perubatan itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya berkata, Pharmaniaga hanya mempunyai lesen mengimport vaksin Covid-19 Sinovac dari China sahaja dan melakukan pengilangan semula di negara ini.

“Pharmaniaga tidak terlibat dalam perolehan vaksin-vaksin lain seperti Pfizer dan AstraZeneca.

“Pharmaniaga hanya bekalkan vaksin daripada Sinovac sahaja. Ketua pembangkang mengatakan kita monopoli semua pembekalan vaksin di Malaysia.

“Ini adalah satu tuduhan tidak berasas sama sekali,” katanya pada sidang media secara persidangan Zoom, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya kerajaan melalui Pharmaniga mengawal pembelian vaksin daripada pihak lain di dalam negara.

Jumaat lalu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin turut menafikan dakwaan Anwar itu sambil menjelaskan bekalan vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu diutamakan berbanding pembelian oleh pihak swasta atau individu lain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menjelaskan, rakyat boleh berbangga apabila Pharmaniaga dinobatkan sebagai satu-satu syarikat farmaseutikal yang menghasilkan vaksin yang diiktiraf halal dunia.

“Vaksin Sinovac yang dikeluarkan (dibotolkan) oleh Pharmaniaga adalah satu-satunya di dalam dunia yang halal dan disahkan dalam dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette