Home Pendapat Berhemah guna media sosial

Berhemah guna media sosial

Pemilik akaun Facebook Junaidah June bakal berdepan tindakan polis kerana menyebarkan berita palsu kematian seorang anggota polis di Gerik Perak akibat kompolikasi vaksin Covid-19 dalam media sosial.

MELIHAT kepada perubahan yang berlaku kini lantaran pandemik COVID-19, norma
baharu telah memperlihatkan hampir semua bentuk komunikasi perlu dilakukan melalui dalam talian. Ini berikutan kepada prosedur operasi standard  (SOP) yang memerlukan kita untuk menjaga jarak dan mengurangkan keterlibatan dan interaksi dengan bilangan yang ramai.

Melalui atas talian, rata-rata hampir semua rakyat Malaysia mempunyai akaun media
sosial sama ada Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain. Ini berikutan media sosial yang menjadi platform utama komunikasi dalam urusan harian termasuklah urusan kerja
mahupun keluarga yang terbatas dengan penjarakan sosial kini.

Namun, harus dilihat kembali kepada kepenggunaannya. Ini kerana walaupun kita
mempertahankan bahawa akaun media sosial kita adalah hak milik peribadi, kita harus
muhasabah diri tentang cara kita menggunakannya. Selain daripada untuk mendapatkan
informasi dan berita-berita terkini melalui platform ini, media sosial juga memberi ruang
untuk kita berkongsi informasi mahupun pendapat peribadi.

Ini jelas melalui ruangan komen yang disediakan untuk memberi respon terhadap
apa jua perkara yang dikongsi di media sosial dan ini tidak hanya terbatas kepada media
sosial peribadi sahaja, tetapi juga agensi-agensi berita, platform hiburan atau informasi
sosial dan sebagainya. Selain risiko berita palsu, apa yang semakin membimbangkan kini
ialah kuasa netizen yang kita bina sendiri daripada ruangan yang diberikan itu.

Secara amnya, perkara ini tidak hanya tertumpu kepada isu-isu semasa yang
berkaitan seperti peperangan di Palestin, pandemik COVID-19, isu yang berkaitan agama
dan lain-lain, tetapi ia juga boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kehidupan peribadi seseorang hanya melalui media sosial.

Ingin dikongsikan di sini sebagai contoh, apabila kita memberikan komen atau pendapat terhadap sesuatu isu, sebenarnya ia melambangkan peribadi dan mencerminkan akhlak kita sendiri kepada semua yang membacanya. Dalam sudut yang berbeza, ia secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi pemikiran pembaca yang lain untuk sama-sama bersetuju atau tidak bersetuju dengan pendapat kita.

Namun begitu, harus diingat, pendapat yang diberikan boleh memberi kesan dan
menimbulkan persepsi terhadap bangsa mahu pun agama kita sendiri secara amnya.
Apatah lagi dengan penggunaan kata-kata yang berbaur hasutan, hinaan dan kesat
terhadap seseorang individu atau komuniti yang lain. Sedangkan dalam mana-mana agamavsekalipun tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa-bahasa seumpama ini.

Dalam hal ini, kita secara tidak langsung mengajak orang lain untuk sama-sama
bersama-sama menggunakan kata-kata seumpama itu apabila mereka terpengaruh dengan ideologi atau pemikiran kita. Lebih buruk lagi apabila pendapat atau ideologi kita itu sebenarnya salah dan boleh jatuh sebagai unsur-unsur fitnah terhadap seseorang individu tersebut yang mana hukumnya adalah berdosa besar.

Malah, jika ia melibatkan komuniti bangsa dan agama yang berbeza, ia boleh mengakibatkan perpecahan sesebuah masyarakat di samping menimbulkan golongan-golongan rasis terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Disebabkan itu, gunakanlah media sosial sebaik-baiknya dan elakkan daripada
terlibat dalam perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan dan gangguan kepada pihak yang lain. Berfikirlah sebelum berkongsi sesuatu atau meninggalkan komen terhadap sesuatu isu dengan menggunakan kata-kata yang lebih berhemah dan berhati-hati dalammemberikan pendapat.

Sebaik-baiknya elakkan daripada menggunakan emosi apabila berkomunikasi dengan menggunakan sosial media. Adalah lebih baik jika kita sama-sama menyebarkan kebaikan dan menggalakkan kasih sayang sesama manusia malah agama sendiri menyuruh kita untuk lebih baik diam daripada bersuara apabila kita berada dalam keadaan beremosi. Secara tidak langsung, ia akan mendidik diri kita untuk lebih bersabar, berfikir dan berhati-hati sebelum berkata-kata.

Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)