Home Nasional SKMM kecewa penyedia platform tidak pantas tangani akaun palsu

SKMM kecewa penyedia platform tidak pantas tangani akaun palsu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kecewa dengan sikap pihak penyedia platform seperti Facebook, Twitter,Instagram, WhatsApp dan Telegram kerana tidak bertindak pantas terhadap laporan yang dikemukakannya dalam menangani isu akaun-akaun palsu terutamanya yang digunakan bagi tujuan penipuan.

Kelewatan tindakan berhubung perkara ini dibimbangi akan merencatkan usaha dalam melindungi pengguna media sosial daripada akaun-akaun palsu terutamanya yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu dan entiti lain, yang seterusnya boleh menyebabkan kerugian wang ringgit kepada pengguna.

Memandangkan platform-platform sedemikian yang tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, SKMM amat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform, katanya.

Justeru, SKMM menggesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab, responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh suruhanjaya.

Dalam masa yang sama, pihak penyedia platform secara langsung mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna.

Tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna.

Tambahnya, MCMC sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan Internet berhemah.

Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial. – MalaysiaGazette