MILAN – Juventus menamatkan debaran ke Liga Juara-Juara apabila layak ke kejohanan itu pada hari terakhir musim ini menerusi kemenangan 4-1 di Bologna dan akan disertai AC Milan yang menewaskan Atalanta 2-0.
Napoli hanya memenuhi kelayakan ke Liga Europa apabila menamatkan saingan di tangga kelima, satu mata di belakang Juventus selepas seri 1-1 di laman sendiri berdepan Hellas Verona.
Dua penalti Franck Kessie memastikan AC Milan menamatkan musim di tangga kedua – 12 mata di belakang pencabar bandar yang sama Inter Milan – dan kembali ke Liga Juara-Juara pertama kali sejak musim 2013-2014.
Atalanta yang sudah mengesahkan bola sepak Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut, terlepas peluang meraih kedudukan kedua Serie A buat kali pertama, beberapa hari selepas tewas dalam final Coppa Italia kepada Juventus. – MalaysiaGazette