KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang semakin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), terutama ketika pandemik Covid-19 semakin membimbangkan ketika ini.
Menerusi Twitter, Ahli Parlimen Ampang itu berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana akur untuk tidak keluar rumah jika tiada urusan penting.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana akur dan memberi kerjasama kepada garis panduan kerajaan dengan ‘duduk di rumah’.
“Malah, terima kasih kerana mempraktikkan ‘lockdown’ kendiri jika tiada keperluan mendesak untuk keluar rumah,” ciap beliau di laman sosial itu.
Menerusi ciapan itu, Zuraida turut berkongsi paparan tajuk berita berserta gambar daripada sebuah agensi berita yang menunjukkan keadaan lengang di pusat membeli belah.
Laporan tersebut memaparkan suasana di pusat beli-belah di beberapa negeri lengang, walaupun pada hujung minggu.
Walaupun masih ada segelintir individu ke pusat beli-belah untuk membeli barangan keperluan, mereka mematuhi SOP ditetapkan.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan memperketatkan SOP PKP 3.0 di seluruh negara bagi membendung penularan jangkitan Covid-19, sekali gus mahu mencapai usaha menamatkan pandemik tersebut di Malaysia.
Semalam, kes baharu Covid-19 di Malaysia mencatatkan angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara apabila sebanyak 6,976 kes dilaporkan. – MalaysiaGazette