KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk Seri diberkas kerana dipercayai menjadi dalang utama dalam kegiatan judi mesin slot konvensional.
Dia ditahan bersama 18 suspek lain termasuk 11 suspek tempatan termasuk seorang wanita, lima lelaki Myanmar dan tiga lelaki Bangladesh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tangkapan dalang utama itu selepas 18 suspek ditahan dalam operasi yang dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 17 Mei lalu di sebuah premis kedai di Jalan Pudu dan beberapa kawasan di ibu negara.
“Dalam serbuan sama, kita berjaya merampas peralatan komputer yang digunakan untuk bermain judi dengan kaedah mesin slot konvensional dan wang tunai RM10,000 dari pada serbuan itu.
“Hasil operasi yang dijalankan ini, polis berjaya menangkap dalang utama kes yang bergelar Datuk Seri yang aktif menjalankan aktiviti jenayah perjudian ini sejak Januari lalu di rumahnya di Taman Segar Cheras pada 20 Mei lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah Datuk Seri berusia 55 tahun itu, polis berjaya merampas wang tunai mata wang asing kesemuanya berjumlah RM579,001, tiga utas jam tangan berjenama bernilai RM238,000. tujuh jongkong emas dan loket bernilai RM58,250, dan tiga buah kenderaan bernilai RM1.215 juta, antaranya Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Mercedes Benz dan Tesla dengan jumlah keseluruhannya berjumlah RM2,090,251.
Azmi berkata, siasatan ke atas kesemua suspek dijalankan di bawah Akta Rumah Terbuka 1953 dan kertas siasatan lengkap telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Polis juga telah mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh 13 daripada 19 suspek yang ditangkap itu di bawah Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka di mahkamah dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada Khamis 27 Mei ini.
“Polis juga akan menjalankan siasatan ke atas empat lagi suspek akan diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) manakal dua lagi suspek diambil tindakan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Ini satu kejayaan kita polis kontinjen Kuala Lumpur dalam tahun ini dan kita akan terus meningkatkan usaha memerangi aktiviti perjudian haram ini di ibu negara sekiranya mendapat maklumat lebih baik daripada masyarakat,” ujar beliau.
Menurut beliau, modus operandi mereka adalah menggunakan mesin judi berbentuk slot mesin kaedah konvensional seperti era 90-an dengan mengubahsuai kotak-kotak kayu yang direka sendiri/
Kegiatan sindiket itu mengaut keuntungan purata RM10,000 hingga RM30,000 sehari, bergantung kepada jumlah pengunjung atau pemain judi, katanya. – MalaysiaGazette