GEORGE TOWN – Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular yang menunjukkan beberapa kenderaan membuat pusing U serta lawan arus di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jelutong di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tiada laporan berhubung kejadian diterima setakat ini.
Bagaimanapun, pihaknya telah mengarahkan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah itu untuk menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti masa dan tarikh kejadian.
“Semakkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) juga akan dibuat untuk mengenal pasti kenderaan yang terlibat bagi tindakan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Dalam perkembangan sama, Soffian menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya agar tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar peraturan lalu lintas.
“Saya mohon semua pengguna mengamalkan sikap bertolak ansur dan sabar ketika berada di jalan raya kerana tindakan melanggari peraturan lalu lintas bukan saja membahayakan diri malah pengguna lain juga,” katanya.
Terdahulu tular satu klip video berdurasi dua minit menunjukkan kesesakan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke arah Jambatan Pulau Pinang dipercayai akibat Sekatan Jalan Raya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Berdasarkan rakaman video yang dimuat naik di Facebook itu, rata-rata pemandu kenderaan termasuk lori bertindak membuat pusingan U walaupun jalan tersebut melawan arus. – MalaysiaGazette