KUALA LUMPUR – Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang di radius 10 ekar di kawasan Stesen Sentral KL (KL Sentral) masih perlu ditingkatkan keupayaannya terutama melibatkan aspek resolusi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, CCTV dalam Stesen KL Sentral juga harus dipantau secara bersepadu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Lawatan saya hari ini adalah untuk melihat kaedah pengoperasian sistem kawalan CCTV serta aspek kesiapsiagaan keselamatan di Stesen KL Sentral.
“Stesen ini adalah kawasan Sasaran Penting Keutamaan 1 dan pusat jaringan pengangkutan awam utama di Lembah Kelang dengan kapasiti pengunjung hampir 200,000 pengunjung setiap hari.
“Keseluruhan kawasan ini dikawal oleh 457 CCTV yang kita anggap tidak mencukupi dan perlu ditambah dengan kamera yang lebih beresolusi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Stesen KL Sentral bagi melihat kaedah pengeporasian CCTV dan aspek keselamatan di KL Sentral di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, sistem CCTV yang digunakan juga perlu menggunakan sistem CCTC pintar berdefinisi tinggi yang lengkap dengan teknologi ‘profiling’ bagi tujuan pengecaman wajah individu.
Selain itu, katanya, ia juga dapat mengecam karakter seseorang bagi membolehkan tindakan pencegahan kemungkinan ancaman keselamatan diambil segera serta lebih berkesan.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada masa sama kementeriannya itu sedang mengkaji keperluan menggubal undang-undang sebagai panduan dan penguatkuasaan dalam memastikan pelaksanaan pemakaian CCTV berkesan khususnya dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah termasuk ancaman kumpulan radikal, ekstremis atau serangan pengganas. – MalaysiaGazette