Home Utama Jumlah pengusaha kilang, tauke mahu beli vaksin agak tinggi – Amirudin

Jumlah pengusaha kilang, tauke mahu beli vaksin agak tinggi – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media mengenai Pelancaran Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin ketika di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengakui menerima tempahan yang agak tinggi daripada pengusaha kilang di Selangor bagi pembelian vaksin Covid-19 bagi pelaksanaan program imunisasi dalam kalangan pekerja khususnya warga asing.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau masih tidak boleh mendedahkan jumlah pengusaha kilang yang menunjukkan minat, selagi pihaknya masih belum mendapat bekalan vaksin.

“Kita tak jual (selagi tiada bekalan) sebab itu kita tak boleh sebutkan angka.

“Tapi kita membuat kajian dan menawarkan kepada sesiapa yang berminat, angka dia agak tinggi.

“Saya tak nak sebutkan lagi, sehinggalah vaksin itu kita dapat sahkan sampai ke dalam simpanan kita dan kita akan laksanakan,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, hari ini.

Amirudin juga memberi jaminan, bekalan vaksin Covid-19 yang akan diberikan kepada pengusaha kilang dan tauke besar tetapi bukan secara percuma, lebih-lebih lagi melibatkan pekerja warga asing.

“Ia bukan sepenuhnya kos kerajaan negeri, kita akan tawarkan kepada mereka dengan harga dan tawaran yang sepatutnya.

“Ini bagi memastikan mereka dapat laksanakan program imunisasi, malah mereka sedia membayar, bukannya mereka nak buat dengan percuma,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan penerima bantuan Peduli Sihat dalam kalangan warga emas di Selangor akan diberikan vaksin secara percuma.

“Kita ada 230,000 penerima Peduli Sihat, rata-rata adalah warga emas

“Kalau perkara itu dipersetujui oleh CITP Kebangsaan, kita juga boleh laksanakan secara percuma sebagai pelaksanaan di peringkat kebangsaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cer Bertrand..
    Semua nak jadi hero..
    Kerajaan dah ckp vaksin percuma utk semua org.
    Yg kerajjan Selangor ni byk duit sgt ke nak beli sendiri. Buat huru hara je dengan proses yg kerajaan jlnkan.
    Bila tak dapat atau lambat salahkan kerajaan.
    Cukup la bazir duit dgn buat covid test percuma.
    Idea tu memang bagus tp kenapa perlu buat pd semua. Buat pada yg bergejala dah la. Tgk peratusan kes positive. Bukan ke membazir duit rakyat. Beri bantuan kelantan pd keluarga yg betul2 perlukan.

Comments are closed.