SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menafikan kematian seorang wanita dikaitkan dengan sikap pihaknya yang menggunakan kekerasan berhubung aduan tangkapan kucing membabitkan kawasan perumahan di Penaga di sini.
Isu tersebut tular di media sosial dengan dakwaan sikap tidak bertimbang rasa MBSP itu menyebabkan ibu kepada seorang wanita meninggal dunia akibat serangan jantung susulan terlalu sedih selepas kucingnya ditangkap pihak berkuasa tempatan terbabit.
Menjelaskan keadaan, Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya hanya bertindak atas aduan berulang mengenai kucing yang berkeliaran dan membuang najis di merata-rata tempat di kawasan tersebut.
Kata beliau, selain menyiasat, pihaknya turut menasihatkan penjaga haiwan itu supaya tidak membiarkan kucing mereka dilepaskan secara bebas bagi mengelakkan kacau ganggu seperti lepas bebas dan bau busuk.
“Kita juga meminta penjaga kucing itu mengurangkan jumlah kucing yang dibela namun, ketika siasatan dijalankan pemilik kucing tersebut secara sukarela menyerahkan seekor kucing yang disangkakan bunting kepada pegawai MBSP.
“Tiada serahan notis dibuat ketika itu kerana tujuan pegawai ke sana untuk membuat siasatan serta memberi nasihat.
“Malah, penjaga berkenaan turut dimaklumkan bahawa kucing itu akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang bekerjasama dengan MBSP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rozali, pihaknya bersedih di atas kejadian yang menimpa keluarga wanita tersebut namun MBSP tidak pernah menggunakan kekerasan atau tidak bertimbangrasa semasa proses siasatan dilakukan.
Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook dipercayai dimuatnaik anak wanita berkenaan yang mendakwa, rumah mereka telah didatangi oleh pegawai penguatkuasa MBSP untuk menangkap kucing yang didakwa berkeliaran pada 19 Mei lalu.
Menurut pemilik akaun itu, ibunya yang dipanggil ‘mama’ bagaimanapun cuba merayu agar kucing tersebut tidak diambil kerana bimbang akan menghadapi masalah kemurungan tanpa haiwan itu, namun rayuan terbabit tidak dihiraukan.
Jelas wanita itu, ketika melakukan rutin harian seperti mencari dan membersihkan najis haiwan tersebut termasuk di kawasan kejiranan keesokan paginya, ibunya mengalami serangan jantung secara mengejut sebelum meninggal dunia.
Setakat ini, hantaran itu dikongsi 5,102 pengguna media sosial, yang mana rata-rata warga maya meninggalkan komen simpati atas kejadian yang menimpa keluarga wanita tersebut. – MalaysiaGazette