Home Utama Masalah komunikasi, cuai mungkin punca dua tren bertembung

Masalah komunikasi, cuai mungkin punca dua tren bertembung

Mangsa dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan susulan kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Masalah komunikasi di pusat kawalan Transit Aliran Ringan (LRT) mungkin menjadi punca dua tren bertembung sehingga menyebabkan 166 penumpang cedera dan 47 lagi parah.

Kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan hospital-hospital berdekatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi melibatkan tren yang membawa 213 penumpang dan tren rosak yang sedang diuji pandu.

Katanya, tren yang diuji pandu itu tidak sepatutnya berada di landasan yang sama dengan tren penumpang dari arah Kelana Jaya sehingga mencetuskan kemalangan berhampiran stesen KLCC bawah tanah.

“Kita dapati mungkin berlaku masalah komunikasi di pusat kawalan LRT ini dan kita akan siasat sejauh mana berlaku breakdown tadi,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap kepada media mengenai kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2021.

Menurut Mohamad Zainal, kejadian kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana menyebabkan kecederaan kepada penumpang dan melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata, siasatan tertumpu kepada kecuaian dan setakat ini belum ada petunjuk atau unsur sabotaj.

Katanya, kesemua mangsa termasuk yang mengalami cedera parah berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar kira-kira jam 9.50 malam dengan bantuan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

“Semasa kejadian kedua-dua tren bergerak dengan kelajuan 40 kilometer sejam dan jaraknya antara stesen adalah kurang 2 kilometer,” ujarnya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, insiden berlaku antara stesen KLCC dan Kampung Baru.

Katanya, oleh kerana kemalangan berlaku di bawah tanah, pasukan bomba dan penyelamat berdepan cabaran kerana terpaksa melalui laluan sempit untuk menyelamatkan mangsa di lokasi kira-kira 100 meter dari stesen hentian KLCC.

“Apabila pasukan bomba tiba ke lokasi dan mendekati tren di bawah terowong itu ada tingkap kaca, pintu pecah dan terbuka memudahkan  penumpang yang tidak tercedera cuba keluar sendiri sebelum kami mengeluarkan penumpang lain yang tercedera.

”Mereka dihantar menggunakan jentera EMRS, Ambulans APMM, Bomba dan IJN selain St John Ambulan dan juga Ambulans Hospital Tsun Shin yang bergilir-gilir mengambil penumpang cedera ke hospital untuk rawatan segera.

“Risiko elektrik dan sebagainya memaksa kami menjalankan misi mengeluarkan setiap penumpang dengan berhati-hati dan mengambil masa yang lama untuk mengelak mereka mengalami kecederaan lebih serius lagi,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Manusia dan komputer mempunyai kelemahan. Teknologi LRT sudah lapuk, masib lagi menggunakan cara manual. KTM dan LRT selalu sahaja rosak, pernah sangkut di atas landasan sehingga pengguna terpaksa berjalan keluar. Sudah tiba peralatan-peralatan lama diganti baru.

Comments are closed.