Home Dunia Syarikat penerbangan UK diminta tidak guna ruang udara Belarus

Syarikat penerbangan UK diminta tidak guna ruang udara Belarus

foto Reuters

LONDON – Kerajaan United Kingdom mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk mengelak menggunakan ruang udara Belarus selepas penerbangan Ryanair dialihkan ke Minsk untuk menahan seorang wartawan pembangkang.

Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps menerusi Twitter berkata, langkah itu perlu “untuk memastikan penumpang selamat”.

Manakala Setiausaha Luar Negeri, Dominic Raab pula telah memberitahu anggota Parlimen tindakan memintas penerbangan itu adalah “serangan mengejutkan terhadap penerbangan awam”.

Roman Protasevich. foto Agensi

Wartawan yang menentang kerajaan itu, Roman Protasevich, 26, dikeluarkan dari pesawat dan ditangkap di lapangan terbang Minsk pada hari Ahad lalu.

Belarus telah menggunakan jet pejuang untuk memaksa pesawat itu – yang dalam perjalanan dari Athens ke Vilnius, Lithuania – untuk mendarat di ibu kota Belarus dengan mendakwa ada ancaman bom.

Polis menahan Protasevich ketika penumpang turun.

Shapps berkata, beliau juga telah menggantung kebenaran operasi syarikat penerbangan Belarus, Belavia, ke United Kingdom berkuatkuasa serta-merta

Jadual waktu syarikat penerbangan menunjukkan Belavis melakukan penerbangan tiga kali seminggu dari Minsk ke lapangan terbang Gatwick, London. – MalaysiaGazette