Home Nasional Tanam pokok ketum untuk lepas gian

Tanam pokok ketum untuk lepas gian

Mohd Sohaimi Ishak menunjukkan pokok ketum yang ditanam oleh seorang lelaki yang ditahan di Taman Saujana Plentong, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa anak tiga bukan sahaja menjadikan daun ketum yang ditanamnya sejak setahun lalu sebagai tempat melepaskan gian tetapi juga memproses dan menjual air ketum.

Lelaki berusia 33 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar itu telah ditahan dalam serbuan di rumahnya dekat Taman Saujana Plentong di sini.

Ketika serbuan, polis berjaya menemui empat botol dipercayai air ketum yang disimpan di belakang rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berkenaan dipercayai memproses sendiri air ketum.

“Kalau kita lihat dari hasil pokok ini banyak air ketum boleh dihasilkan tak kurang 100 botol,” katanya dalam operasi serbuan malam tadi.
Lelaki ini turut menjadikan bangsal depan rumahnya sebagai ‘port’ berkumpul untuk minum ketum.
Lelaki yang menanam pokok ketum disoal siasat Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendent Mohd Sohaimi di rumahnya di Taman Saujana, Plentong. Johor.
Dalam pada itu, serbuan di taman perumahan yang sama turut menahan empat lelaki yang dipercayai sedang leka meminum air ketum dengan menjadikan rakan mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan untuk membeli air ketum.
Mohd Sohaimi berkata, polis turut menangkap beberapa orang yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan ketum dan merampas beberapa air dan juga  botol berisi air ketum.
“Salah seorang adalah pekerja Foodpanda yang dipercayai menghantar pesanan air,” katanya.
Polis menyerbu bangsal yang dijadikan port minum air ketum di Masai, Johor.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Kota Masai, polis  berjaya membawa penemuan ‘port’ memproses air ketum dengan menjadikan stor kecil untuk aktiviti tersebut.
Ketika serbuan dilakukan, dua lelaki yang dipercayai sedang membungkus air ketum cuba melarikan diri di kawasan semak berhampiran namun berjaya dicekup polis.
Ketika siasatan dijalankan, kedua-dua lelaki berkenaan pada awalnya tidak mengaku sedang melakukan aktiviti pembungkusan.
Namun, hasil serbuan,polis berjaya menemui satu periuk besar yang dipenuhi daun ketum dan air ketum yang telah siap dibungkus.
Turut dirampas ialah daun ketum seberat 20 kilogram dan 13 liter cecair dipercayai air ketum.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – Malaysiagazette