KUALA LUMPUR – Pusingan kedua pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca akan dibuka kepada orang awam di bawah umur 60 tahun mulai tengah hari esok.
Tempahan itu dibuka kepada orang ramai di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor serta Kuching dan Miri di Sarawak.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, seramai 228,000 warga emas telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin itu selepas tawaran dibuka kelmarin.
Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada golongan itu hingga waktu akhir pendaftaran.
“Kita akan beri keutamaan kepada warga emas hari ini dan esok serta beri keutamaan pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui janji temu pada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) biasa.
“Bagi mempercepatkan slot janji temu pusingan kedua vaksin AstraZeneca, kita akan buka esok untuk orang ramai,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.
Turut serta pada sidang media itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, ciri baru akan tersedia di aplikasi MySejahtera untuk membolehkan ibu hamil dan menyusukan bayi mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi.
Katanya, ciri baharu itu akan tersedia pada akhir minggu ini dan mereka yang berminat boleh menggunakan ciri tersebut untuk mendaftar.
Bagimanapun, Khairy mengingatkan agar mereka yang ingin mendapatkan suntikan perlu berjumpa dengan doktor masing-masing terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mendapatkan vaksin.
“Nasihatnya sekarang adalah Pfizer dapat diberikan kepada kedua-duanya, sementara AstraZeneca adalah untuk ibu menyusu,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan membincangkan sama ada vaksin AstraZeneca boleh diberikan kepada ibu hamil menerusi perbincangan yang akan diadakan pada Khamis ini. – MalaysiaGazette