Home Nasional 90 peratus Polis Shah Alam terima vaksin Covid-19

90 peratus Polis Shah Alam terima vaksin Covid-19

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib.
SHAH ALAM – Kira-kira 90 peratus pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima suntikan imunisasi Covid-19 setakat ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.
“Sebanyak 20 peratus lagi sudah mendapat satu dos suntikan, manakala 10 peratus pula masih menunggu giliran untuk suntikan imunisasi itu.
“Kebanyakan anggota yang masih belum menerima vaksin ini yang bertugas di pejabat IPD Shah Alam,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Shah Alam-Bukit Jelutong, hari ini.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyenaraikan seramai 27,000 nama pegawai dan anggota di lima Kontinjen polis negeri untuk menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Sebelum ini juga Bukit Aman mensasarkan sehingga lebih 50 peratus pegawai dan anggotanya untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat.
Dalam pada itu, Baharudin berharap agar suntikan vaksin Covid-19 segera diberikan khususnya kepada petugas barisan hadapan yang terdedah dengan risiko jangkitan virus itu.
“Kita harap hujung bulan ini kita akan dapat (vaksin) kepada semua pegawai dan anggota kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette