Home Utama Pemandu TR40 cuai, memandu dalam arah salah – Ka Siong

Pemandu TR40 cuai, memandu dalam arah salah – Ka Siong

Transport Minister Datuk Seri Dr Wee Ka Siong MH Malaysia Airlines flight India passenger cargo
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kecuaian pemandu (hostler) yang memandu Tren 40 (TR 40) ke arah yang salah menjadi punca kemalangan tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya malam tadi.

Kejadian itu melibatkan tren bernombor 40 (TR40) dan tren 81 (TR81).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, hasil siasatan awal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati TR40 sepatutnya bergerak ke arah south bound tetapi berlaku sebaliknya.

Jelasnya, tren itu didapati bergerak dalam orientasi berlainan iaitu ke arah north bound, sekali gus mengakibatkan pelanggaran berlaku antara kedua-dua tren terbabit.

“TR40 ialah gerabak kosong yang tiada penumpang dan dikendalikan secara automated train operation (ATO) dari Gombak ke depoh Subang iaitu ke arah selatan.

“Ia bagaimanapun mengalami kegagalan dan berhenti ketika menghampiri stesen Kampung Baru. Pemandu telah dihubungi dan diarahkan memandunya secara manual untuk dibawa ke depoh.

“Yang menjadi kesilapan atau kecuaian pemandu ini adalah bawa ke arah bertentangan lalu ia bertembung dengan tren (TR81) yang sedang membawa penumpang.

”TR81 yang menerima maklumat bahawa TR40 telah beredar dari stesen Kampung Baru kemudiannya berlepas dari stesen KLCC ke stesen berkenaan sebelum dilaporkan bertembung dengan TR40 pada pukul 8.33 malam semalam.

“Inilah hasil siasatan awal yang dikemukakan kepada saya oleh APAD,” katanya dalam sidang media maya sebentar tadi.

Menurutnya, jawatankuasa siasatan telah dibentuk bagi menyiasat kes pertama membabitkan LRT ini.

Ahli Jawatankuasa siasatan ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, Timbalan, Normah Osman dengan lima orang ahli selain empat tenaga pakar.

Dalam sidang media itu, Ka Siong berkata, Prasarana memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk membersihkan kawasan insiden bagi mengelakkan gangguan operasi.  -MalaysiaGazette